PETALING JAYA: Seorang jurugambar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua orang pereka fesyen terkenal dua hari lalu.
Tertuduh, Muhammad Imran Khairil, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Imran Muhammad Imran didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Raziman Din, 53, dengan menggunakan sebuah kamera sebagai senjata pada pukul pukul 8.45 malam, 8 Januari lalu di Aras 1, Grand Ball Room, M World Hotel Petaling Jaya-Avante Hotel, Persiaran Bandar Utama, di sini
Pada tarikh dan tempat yang sama, pada pukul 9 malam, tertuduh didakwa mencederakan Azmi Abdul Rahman, 47, dengan menggunakan sebuah kamera sebagai senjata.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan.
Peguam bela, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu.
“Tertuduh sudah berkahwin dan hanya bekerja sebagai jurugambar bebas dengan pendapatan yang tidak menentu. Memandangkan dia telah memberi kerjasama sepenuhnya, dimohon agar mahkamah mengenakan jumlah jaminan paling minimum,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan dilarang mendekati dan mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 28 Februari hadapan untuk sebutan semula kes.
Semalam, media melaporkan, seorang lelaki ditahan polis akibat tindakannya menyerang dan mencederakan dua pereka fesyen di ruang legar sebuah hotel sekitar Petaling Jaya kelmarin.
Media turut melaporkan pereka fesyen tersebut tidak menolak mengenai kemungkinan masalah hutang menjadi punca mereka diserang secara tiba-tiba oleh jurugambar dalam sebuah acara di Petaling Jaya. – UTUSAN










