Penganggur bunuh ibu bapa dipenjara 40 tahun, sebat 24 kali

Penganggur bunuh ibu bapa dipenjara 40 tahun, sebat 24 kali

MOHD. Ruzaini Zulfikli mewakili anak guamnya, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali yang didakwa atas pertuduhan membunuh ibu dan bapanya. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara 40 tahun dan sebat 24 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian di Kampung Sungai Penchala pada Disember 2023.

Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, selepas berpuas hati bahawa pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh secara sukarela dan dalam keadaan waras.

“Jenis kesalahan ini sangat serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa kedua ibu bapa tertuduh sendiri. Walau apa pun sebabnya, tertuduh tidak berhak untuk mengambil nyawa mereka,” kata beliau ketika menjatuhkan hukuman.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah memerintahkan Afendi dipenjara 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan.

Hukuman diperintah berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 9 Disember 2023.

Mengikut pertuduhan, Afendi didakwa membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72, di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6, masing-masing pada pukul 7.10 malam dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, pihak pendakwaan dengan dibantu oleh Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Asisten Superintenden Mohd. Hasni Hussin mengemukakan 73 barang kes untuk diakui tertuduh.

Antara barangan itu ialah sebatang kayu, sehelai baju yang mempunyai kesan darah, mata pisau, hulu pisau dan topi keledar.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah dalam hujahnya berkata, dua nyawa telah terkorban tanpa sebab yang munasabah, malah kedua-dua mangsa merupakan individu yang telah membesarkan tertuduh.

“Ini merupakan kesalahan yang sangat berat. Kita tidak tahu mengapa tertuduh bertindak sedemikian.

“Jika tidak dikenakan hukuman berat, ia seolah-olah mencemarkan erti keadilan kepada mangsa yang telah membesarkan tertuduh sejak kecil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setimpal bagi perbuatan Afendi yang disifatkan sebagai sangat kejam.

Peguam bela, Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili tertuduh pula merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara dan sebat maksimum memandangkan Afendi telah mengaku bersalah dari awal walaupun telah dinasihatkan untuk mempertimbangkan semula pengakuannya itu.

Jelasnya, tindakan itu menunjukkan tertuduh insaf dan ingin menjalani pemulihan.

Peguam itu turut menyatakan tertuduh telah disisih oleh ahli keluarganya yang lain, sekaligus menjadi ia satu hukuman yang berat buat Afendi.

Mohd. Ruzaini berkata, tiada bukti bahawa tertuduh merancang serangan atau mempunyai niat awal untuk membunuh kedua-dua mangsa, sebaliknya kejadian itu berlaku akibat salah faham dan secara tiba-tiba.

Afendi ketika oleh Hakim Muniandy menyatakan bahawa dia memahami hukuman yang bakal dijatuhkan mahkamah ke atasnya.

Pada 6 September 2024, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan membunuh ibu bapanya menyrbabkan mahkamah memerintahkan dia menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Laporan pakar psikiatri forensik bertarikh 7 Februari 2025 mengesahkan tertuduh dalam keadaan siuman, stabil dan mengetahui akibat perbuatannya.

Terdahulu, media melaporkan kejadian tragik itu terbongkar apabila jeritan wanita meminta tolong didengari jiran sebelum pihak polis menemui pasangan suami isteri warga emas itu mati dibunuh dalam rumah mereka.

Suami isteri berusia 72 dan 82 tahun itu ditemukan di ruang tamu kediaman mereka dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh.

Suspek kemudiannya melarikan diri dan berjaya diberkas ketika bersembunyi di dalam Terowong Penchala, Lebuhraya Sprint. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN