RAMAI bersetuju apabila pelakon yang satu ini dikatakan memiliki pakej lengkap untuk bergelar hero layar perak.
Hal itu tidak mustahil apatah lagi Irfan Zaini sememangnya mempunyai rupa dan bakat untuk diketengahkan.
Tambah pula namanya kini semakin meledak hasil penangan watak Malik yang dihidupkannya menerusi filem Blood Brothers.
Yang penting, hasil kerja keras lebih sedekad anak wayang berusia 29 tahun ini, terbalas.
Perjalanan kariernya melalui pelbagai fasa turun dan naik. Pencapaiannya hari ini adalah bayaran bagi kesabaran serta kecekalannya. Kini, tiba masanya untuk Irfan lebih menyerlah.
“Saya berlakon sejak usia saya 12 tahun. Walaupun melalui fasa turun naik, saya tidak pernah anggap perjalanan saya susah sebab saya benar-benar cintakan bidang lakonan.
“Sebelum ini saya berdepan banyak penolakan. Ada uji bakat yang saya hadiri tidak membuahkan hasil, antaranya membabitkan filem-filem besar seperti KL Gangster dan Sheriff.
“Dan sebelum ini saya digugurkan daripada membintangi The Expert disebabkan watak yang saya lakonkan dalam filem itu dimansuhkan atas faktor sensitiviti.
“Banyak lagi kejadian yang menguji tahap kesabaran saya. Tapi, saya tidak pernah putus asa sebab saya percaya, masa untuk saya menyinar satu hari nanti pasti tiba.
“Akhirnya, saya diterima berlakon dalam filem Blood Brothers dan disebabkan filem itu, semakin ramai mengenali saya. Saya bersyukur dan berterima kasih,” katanya.
Kata Irfan, dia tidak pernah menjangkakan menjadi popular sekelip mata disebabkan filem arahan Syafiq Yusof itu.
“Ramai pelakon bertaraf ‘nama besar’ dalam filem itu dan mereka lebih berpengalaman. Kalau diikutkan, logiknya, sukar bagi pelakon meningkat naik seperti saya untuk menyerlah.
“Sebab itu saya benar-benar terkejut apabila penonton suka dengan watak Malik, sekali gus mengenali saya.
“Lebih membuatkan saya terharu apabila ada penonton yang ingat babak dan dialog Malik walaupun watak itu muncul sekejap sahaja,” katanya lagi.
PEMINAT FANATIK
Memiliki ketampanan persis pelakon Bollywood, tidak hairan ramai wanita yang menggilakan Irfan.
Tapi, yang mengejutkan, muncul peminat wanita yang sanggup menyerang wanita lain kerana ketaksuban mereka terhadap pelakon ini.
Irfan memaklumkan kejadian itu berlaku di Kuching, Sarawak ketika dia dan barisan pelakon lain mengikuti rangka promosi filem Blood Brothers di bumi Kenyalang itu.
“Kejadian ini tidak berlaku depan mata, saya dimaklumkan tentangnya apabila akaun media sosial saya dipetik menerusi posting seorang kenalan.
“Mangsa, yang merakam gambar saya ketika saya datang mempromosikan Blood Brothers di sana, cedera akibat diserang peminat fanatik dalam tandas.
“Saya dimaklumkan peminat fanatik itu ada memberi amaran kepada mangsa yang kononnya saya ini kepunyaannya.
“Saya juga difahamkan laporan polis telah dibuat mengenai serangan itu. Pada saya, ini keterlaluan, situasi yang tidak sihat dan seharusnya tidak berlaku,” kongsinya.
MENOLAK LEMAS DITELAN POPULARITI
“Saya tidak kejar populariti.”
Pada awal saya skeptikal apabila kenyataan di atas terpacul dari mulut pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur ini.
Tapi, bila difikirkan sebaiknya, mungkin ada kejujuran dalam pengakuannya itu. Tambahan pula, sekarang ini pun mudah hendak jadi popular. Mahu atau tidak sahaja.
Perhatian yang diraihnya hari ini pun hasil lakonan berkesan dalam Blood Brothers. Bukan kerana cerita panas atau sensasi.
“Saya berlakon sebab saya sayangkan bidang ini. Matlamat saya mencari kepuasan sendiri. Bukan mahu jadi famous.
“Populariti itu rezeki. Ia datang dan pergi, tidak boleh dibawa mati. Kalau saya kejar perkara itu, saya tidak akan berjaya. Jadi, ia bukanlah matlamat hidup saya,” katanya.
Kata Malik, bagaimanapun dia bersyukur jika Tuhan menjadikannya manusia popular.
Katanya, setidaknya populariti itu petanda ada peminat yang hargai bakat saya.
“Populariti ini saya harap menyusul dengan peluang lakonan yang lebih besar.
“Mungkin sebelum ini hanya 10 orang yang kenal saya. Sekarang jumlahnya bertambah.
“Dulu saya hanya dikenali dalam kalangan masyarakat India manakala mungkin hari ini, saya mengumpul peminat dalam kalangan orang Melayu dan Cina,” katanya.