SHAH ALAM: Kegiatan haram seorang pemandu e-hailing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dikenali Geng Alstonia sejak lapan bulan lalu tumpas selepas dicekup bersama lapan individu lain, Selasa lalu.
Sindiket diketuai lelaki berusia 30-an yang bergiat aktif di sekitar Lembah Klang itu dipercayai menyasarkan pusat hiburan dan individu perseorangan menerusi urus niaga bersemuka atau secara atas talian.
Kelicikan suspek tempatan bersama enam lelaki dan dua wanita termasuk warga asing berusia 24 hingga 36 tahun itu itu berakhir selepas diberkas polis dalam lima siri serbuan di sekitar Lembah Klang sekali gus membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM5.1 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merampas pelbagai dadah yang dianggarkan mampu dibekalkan kepada lebih 43,000 penagih sehari.
“Rampasan itu termasuk serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 26 kilogram (kg), ketamin (4.7kg), serbuk dan pil ekstasi, cecair dadah dan katrij vape yang mengandungi bahan terlarang.
“Dalang kumpulan itu didapati bekerja sebagai pemandu e-hailing dan turut berperanan sebagai pengedar utama bahan haram berkenaan.
“Sindiket itu menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak dihidu pihak berkuasa termasuk mencampurkan dadah dalam bentuk jus minuman dan perisa vape,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.










