Pemandu bas ekspres bawa penumpang positif dadah morfin ditahan

Pemandu bas ekspres bawa penumpang positif dadah morfin ditahan

HAMIDI Adam ketika memeriksa tayar bas yang ditahan pada Ops Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2/2025 Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.- UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Tindakan seorang pemandu bas ekspres yang membawa penumpang ke Kemaman, Terengganu dalam keadaan positif dadah mengundang padah apabila dia ditahan hari ini.

Penahanan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang positif morfin itu dibuat semasa Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak. 

Tinjauan Utusan Malaysia yang mengikuti operasi berkenaan mendapati, bas yang membawa penumpang itu dalam perjalanan dari Lumut, Perak. 

Susulan daripada itu, pemandu berkenaan kemudian ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983. 

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula pada pukul 1 petang ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), AADK serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurutnya, sebanyak 60 kenderaan telah diambil tindakan hasil pemeriksaan 620 kenderaan.

“JPJ telah mengeluarkan 109 notis saman P(22), notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (19 kes) serta 11 kes bagi Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu arahan untuk menimbang kenderaan.

“Selain itu, sebanyak 139 kesalahan direkodkan iaitu cukai jalan tamat tempoh paling tinggi direkodkan iaitu 33 kes, tiada lesen memandu (28 kes), tiada perlindungan insurans (28 kes).

“Dalam operasi ini juga kita mengesan sebanyak 15 kereta mempunyai cermin gelap diikuti nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (10 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, pihak MOTAC telah mengesan dua bas persiaran yang tidak mematuhi peraturan iaitu tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong. 

Katanya, pemandu bas telah diambil keterangan oleh MOTAC sebelum akan memanggil pemilik syarikat berkenaan.

Tambah Hamidi, AADK pula telah memeriksa 44 orang pemandu, manakala pihak JSPT memeriksa 312 kenderaan serta 71 notis saman dikeluarkan.

Dalam pada itu, bagi tempoh enam hari Op HRAA 2025,  JPJ Kuala Lumpur telah menyita 26 kenderaan iaitu 23 motosikal, dua kereta serta sebuah lori hasil 33,988 pemeriksaan kenderaan selain 2,437 notis dikeluarkan.

“Op HRAA ini merupakan bukti komitmen JPJ Kuala Lumpur dalam memastikan keselamatan seluruh pengguna jalan raya. Pencapaian ini menjadi asas kepada usaha berterusan untuk mempertingkatkan keselamatan serta kecekapan operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×