Pelebaran JRTB perlu kajian teliti, elak risiko tanah runtuh

Pelebaran JRTB perlu kajian teliti, elak risiko tanah runtuh

LOKASI kemalangan bas yang meragut 15 nyawa penuntut UPSI di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat di Gerik. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Cadangan pelebaran Jalan Raya Timur Barat (JRTB) memerlukan kajian terperinci walaupun mampu meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik.

Pensyarah Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Hamzah Hussin berkata, laluan berhampiran lereng-lereng bukit berisiko berdepan tanah runtuh jika tidak dikendalikan dengan betul.

“Sebarang pelebaran perlu disokong kajian geoteknikal dan penilaian impak alam sekitar. Kerja-kerja ini memerlukan kos tinggi untuk pembinaan struktur sokongan dan boleh memberi kesan alam sekitar.

“Selain kerja-kerja pelebaran, alternatif lain perlu dipertimbang seperti lorong mendaki tambahan atau pengurusan trafik yang lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isnin lalu, perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, JRTB, Jeli-Gerik.

Hamzah berkata, permukaan laluan yang berlekuk, curam dan berbukit menjadi antara penyumbang kepada kemalangan di JRTB.

Katanya, laluan yang berlekuk boleh menyebabkan kenderaan hilang kestabilan, terutama apabila dipandu laju.

“Lekuk pada permukaan jalan juga cenderung menyebabkan air bertakung ketika hujan, lalu meningkatkan risiko aquaplaning yang mana tayar hilang cengkaman pada permukaan jalan basah.

“Bagi laluan yang curam pula, kenderaan berat seperti lori atau bas berisiko mengalami kegagalan sistem brek ketika menuruni cerun panjang, terutama apabila brek terlalu panas. Jalan yang curam juga boleh menyebabkan kenderaan meluncur laju secara tidak terkawal jika pemandu tidak berhati-hati,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN