BESUT: Seorang warga China berusia 33 tahun yang bercuti di Pulau Perhentian, di sini sejak tiga hari lalu ditemukan mati lemas di lokasi peranginan itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad@Abu berkata, mangsa datang bercuti di Pulau Perhentian bersama seorang sepupunya sejak 3 Jun lalu.
“Kira-kira pukul 11 pagi semalam, mereka dikatakan ke tepi pantai sebelum mangsa berenang seorang diri namun tidak kembali dalam tempoh 30 minit,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudian ditemukan dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di kawasan berbatu oleh orang awam.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, “ katanya. – UTUSAN