Pekerja ladang sawit terlepas hukuman mati - Utusan Malaysia

Pekerja ladang sawit terlepas hukuman mati

MOHD. Nizam Shah Shahruddin di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Sehari sebelum umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidiladha, seorang pekerja ladang sawit terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan membunuh kepada dakwaan membunuh tanpa niat.

Lebih menggembirakan lagi apabila tertuduh, Mohd. Nizam Shah Shahruddin, 40, dapat menyambut perayaan tersebut apabila dia akan dibebaskan hari ini selepas Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun selepas lelaki itu mengaku bersalah atas tuduhan pindaan.

Tertuduh telah berada dalam tahanan reman sejak enam tahun lalu.

Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan ialah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan manakala Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan pula membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, ketika mahkamah mengumumkan keputusannya, seorang wanita warga emas dipercayai ibu tertuduh dilihat menitiskan air mata kesyukuran.

Hakim Noor Ruwena meminda pertuduhan terhadap Mohd. Nizam Shah Shahruddin, 40, pada keputusan di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Hakim Noor Ruwena berkata, walaupun pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah namun mahkamah berpuas hati dengan fakta bahawa Mohd. Nizam terlibat bersama beberapa orang yang lain untuk mencederakan mangsa, Chua Teng Wooi kerana marah dengan perbuatan lelaki itu dan mahu memberi pengajaran kepadanya.

“Dengan mengambil kira keterangan pihak pendakwaan dan keterangan tertuduh, mahkamah mendapati mangsa meninggal dunia akibat perbuatan tertuduh dan beberapa orang lain dengan tanpa niat menyebabkan kematiannya.

“Kecederaan serius pada paru-paru menyebabkan kematian mangsa tapi doktor tidak boleh mengenal pasti siapa yang menyebabkan kematian itu. Jadi keterangan ini datang daripada keterangan yang lain-lain.

“Oleh yang demikian mahkamah menggunakan kuasa di bawah Seksyen 158 Kanun Acara Jenayah dan meminda pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (b) kanun sama,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohd. Nizam yang bekerja sebagai pemotong buah kelapa sawit itu didakwa bersama beberapa orang yang tidak dituduh dalam mencapai niat bersama telah menyebabkan kematian Teng Wooi, 41, di Sel A10 Tahanan Reman Penjara Taiping pada pukul 9.30 malam, 29 Ogos 2019.

Selepas merekodkan pengakuan bersalah tertuduh, Hakim Noor Ruwena menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling manakala tertuduh diwakili Peguam, Rajit Singh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN