Pekerja ekonomi gig perlu dilindungi - Fahmi Fadzil

Pekerja ekonomi gig perlu dilindungi – Fahmi Fadzil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu kebajikan pekerja sektor ekonomi gig seperti p-hailing dan e-hailing termasuk penghantar makanan perlu diberi perhatian serius memandangkan mereka terdedah kepada risiko kemalangan setiap hari.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sektor gig bukan sahaja memerlukan daya tahan fizikal malah perlindungan menyeluruh terutama jika berlaku kemalangan semasa bekerja.

Beliau menyokong usaha syarikat seperti Foodpanda yang menyantuni pekerja mereka dan menyeru agar lebih banyak inisiatif kebajikan diperkenalkan secara menyeluruh dan berterusan.

“Tahun lalu kita perkenalkan pakej internet khas untuk penghantar makanan. Saya mahu teruskan kerjasama dengan MCMC dan telco untuk sediakan pelan lebih baik.

“Sektor gig ini penuh cabaran. Bukan saja dari cuaca atau masa kerja, tapi juga soal keselamatan. Kebajikan mereka mesti dijamin,” katanya ketika sidang media perasmian acara Durian Runtuh 2.0-Anugerah Hero Tapau anjuran Foodpanda Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan menyampaikan isu yang dihadapi penghantar makanan kepada kementerian berkaitan bagi memperjuangkan nasib dan masa depan pekerja sektor gig negara.

Terdahulu, Fahmi hadir merasmikan program Durian Runtuh 2.0-Anugerah Hero Tapau anjuran Foodpanda Malaysia yang turut dihadiri Pengarah Urusan Foodpanda, Tan Ming Luk.

Acara itu menyaksikan seramai 199 rider menerima penghargaan termasuk tiga pemenang utama yang membawa pulang pakej Umrah tajaan penuh bernilai lebih RM108,000.

Hamdi Mahat, 46 penghantar makanan Foodpanda dari Kota Damansara muncul pemenang pertama menerima hadiah pakej Umrah buat kali kedua.

“Saya amat bersyukur kepada Tuhan atas kemenangan ini yang saya anggap hadiah istimewa sempena hari lahir isteri saya semalam,  yang sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya” katanya.

Pemenang kedua, Muhammad Farid Khairuddin, 25, dari Johor Bahru menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki tidak disangka selepas lima tahun menjadi rider sepenuh masa.

Seorang lagi penerima hadiah utama, Mohd Anuar Tajuddin, 47, dari Kota Damansara berkata, beliau tidak menyangka usaha konsisten selama ini akhirnya dihargai dengan anugerah yang begitu besar dan bermakna.

Selain pakej Umrah, Seramai 196 jongkong emas diagihkan kepada penghantar makanan termasuk 14 jongkong 10 gram, 28 jongkong 5 gram, 42 jongkong 2.5 gram dan 112 jongkong emas 1 gram setiap seorang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN