GRADUAN kini mempunyai akses kepada peluang kerja fleksibel yang menawarkan pendapatan segera, kebebasan masa, dan pilihan untuk mengawal sendiri beban kerja mereka.
Salah satu tarikan utama ekonomi gig ialah fleksibiliti. Ekonomi gig menawarkan alternatif untuk menjana pendapatan sambil menunggu peluang pekerjaan yang lebih sesuai. Contohnya, ramai graduan memilih untuk menjadi pemandu e-hailing atau penghantar makanan kerana pekerjaan ini mudah diakses dan tidak memerlukan pengalaman yang luas.
Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh graduan dalam ekonomi gig. Antaranya ialah ketiadaan jaminan pekerjaan dan manfaat pekerja seperti insurans kesihatan atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Graduan yang terlibat dalam ekonomi gig sering kali perlu mengurus sendiri kewangan mereka tanpa sokongan struktur yang biasanya disediakan oleh majikan dalam pekerjaan tetap.
Keadaan ini boleh menimbulkan ketidakstabilan kewangan, terutamanya apabila pendapatan tidak menentu bergantung kepada jumlah kerja yang diperoleh.
Contoh terkini ialah peningkatan bilangan graduan yang menyertai platform bebas seperti Upwork untuk menawarkan perkhidmatan seperti penulisan, reka bentuk grafik, dan pengaturcaraan. Walaupun peluang ini memberi mereka pengalaman bekerja dengan klien global, persaingan sengit di platform tersebut juga memaksa graduan untuk menawarkan harga yang lebih rendah demi mendapatkan projek. Hal ini boleh menyebabkan pendapatan yang diterima tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan.
Ekonomi gig juga memberi kesan kepada pembangunan kemahiran graduan. Walaupun pekerjaan gig membantu graduan mengasah kemahiran tertentu, seperti komunikasi dan pengurusan masa, ia mungkin tidak memberikan pengalaman mendalam dalam bidang pengkhususan mereka.
Sebagai contoh, seorang graduan kejuruteraan yang memilih untuk menjadi pemandu e-hailing mungkin tidak dapat membina kemahiran teknikal yang diperlukan dalam bidang tersebut, sekaligus menjejaskan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan tetap dalam bidang kejuruteraan.
Walaupun terdapat cabaran, ekonomi gig juga membuka peluang untuk graduan meneroka keusahawanan. Banyak graduan menggunakan ekonomi gig sebagai batu loncatan untuk memulakan perniagaan sendiri. Sebagai contoh, seorang graduan yang bermula sebagai pereka grafik bebas di platform gig mungkin berjaya membina reputasi dan akhirnya membuka agensi reka bentuk sendiri. Dalam konteks ini, ekonomi gig boleh menjadi pemangkin kepada inovasi dan kreativiti dalam kalangan graduan.
Kerajaan dan institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membantu graduan memanfaatkan peluang dalam ekonomi gig sambil menangani cabarannya.
Langkah seperti menyediakan latihan kemahiran digital, menggalakkan pengurusan kewangan yang bijak, dan memperkenalkan dasar perlindungan sosial untuk pekerja gig boleh membantu graduan membuat keputusan yang lebih bijak mengenai kerjaya mereka. Contohnya, inisiatif oleh Perkeso melalui program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri adalah langkah positif untuk melindungi pekerja gig.
Ekonomi gig membawa perubahan besar kepada landskap pekerjaan dan memberi graduan pilihan kerjaya yang lebih fleksibel. Walaupun terdapat cabaran seperti ketidakstabilan kewangan dan ketiadaan jaminan pekerjaan, peluang yang ditawarkan oleh ekonomi gig tidak boleh diabaikan. Dengan sokongan yang tepat, graduan dapat memanfaatkan ekonomi gig untuk membina kerjaya yang bermakna dan lestari, selaras dengan keperluan serta aspirasi mereka dalam dunia kerja moden. – UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Puncak Alam










