PETALING JAYA: Kira-kira 50 penduduk, pendaki dan penyokong alam sekitar berhimpun secara aman di hadapan pekarangan Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini bagi menyerahkan memorandum mendesak agar segala pembangunan di kawasan cerun Bukit Gasing dihentikan serta-merta.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Rajesh Nagarajan berkata, penyerahan memorandum itu mewakili suara rakyat yang mahu kawasan hijau terakhir di Petaling Jaya dipelihara demi keselamatan dan keseimbangan ekosistem bandar.
“Kami hadir bukan sekadar sebagai aktivis atau penduduk tetapi sebagai manusia yang takut kehilangan nyawa dan rumah. Bukit Gasing bukan sekadar bukit tetapi ianya adalah benteng terakhir menahan kita daripada bencana yang telah pun berlaku sebelum ini.
“Beberapa kejadian tanah runtuh sudah dilaporkan sebelum ini, pokok besar tumbang menghempap tembok rumah dan cerun dilihat semakin tidak stabil. Kami tidak mahu tragedi seperti Highland Towers atau Batang Kali berulang di sini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan perkarangan Pejabat Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
Menurut Rajesh, memorandum itu turut mengandungi tuntutan agar MBPJ mengeluarkan Stop Work Order (Perintah Henti Kerja), mendedahkan semua dokumen kelulusan projek pembangunan dan menjalankan kajian semula oleh oleh pakar (geologi, cerun dan biodiversiti).
Sementara itu, Setiausaha PEKA, Vimala Raghawan menegaskan bahawa penebangan pokok dan kerja tanah yang sedang dijalankan telah menyebabkan habitat haiwan musnah, malah kera dan burung kini kelihatan berkeliaran di kawasan kediaman penduduk.
“Kita sudah lihat di pelbagai tempat kejadian serupa telah berlaku, hutan semakin pupus. Sekarang Bukit Gasing pula menjadi sasaran. Ini bukan hanya isu alam sekitar tetapi isu kemanusiaan.
“Kita musnahkan hutan, haiwan tiada tempat berlindung, cerun semakin tidak stabil dan tanah runtuh pasti berlaku. Ini kawasan cerun tinggi, kenapa MBPJ boleh beri kelulusan pembangunan di situ? Tidak masuk akal,” katanya.
Dalam pada itu, ahli PEKA, Sachpreetraj Singh berkata, kawasan hijau seperti Bukit Gasing semakin pupus di sekitar Petaling Jaya dan pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam perancangan pembangunan.
“Bukit Gasing adalah ruang rekreasi terakhir untuk rakyat serta tempat orang datang bersantai, mendaki dan menikmati alam. Perancangan pembangunan ini langsung tidak strategik, terlalu padat dan mengabaikan kelestarian.
“Saya dan penduduk lain mendesak MBPJ supaya hentikan segera projek ini dan semak semula kelulusan yang telah diberi,” katanya.
Memorandum “Tuntutan Berhenti Kerja Tanah dan Semakan Semula Kelulusan Pembangunan di Cerun Bukit Gasing” itu dikemukakan kepada pejabat Datuk Bandar MBPJ dengan seruan agar kawasan tersebut dikekalkan sebagai tanah rizab hijau untuk kegunaan generasi akan datang.
Antara projek yang dipersoalkan termasuk pembinaan rumah tiga tingkat dan kolam renang serta kerja pemotongan pokok di cerun tanpa papan tanda keselamatan dan pembinaan dua buah banglo persendirian yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Perhimpunan berlangsung secara aman selama lebih sejam lebih dengan kehadiran masyarakat setempat yang prihatin terhadap ancaman pembangunan di kawasan bukit tersebut. – UTUSAN