PETALING JAYA: Sering ‘terperangkap’ dengan watak antagonis yang kejam dan licik, pelakon Korea Selatan, Park Sung-hoon mengakui wataknya sebagai Cho Hyun-joo dalam musim kedua dan ketiga siri global popular Squid Game menjadi anjakan besar dalam kerjayanya.
Lebih bermakna, watak Hyun-joo yang diperkenalkan sebagai pemain transgender dengan latar belakang penuh berprinsip, kasih sayang dan keberanian moral memberi ruang buat Sung-hoon menzahirkan sisi lain dirinya yang jarang diterokai.
“Watak Hyun-joo ibarat satu hadiah besar dalam karier saya. Selama ini saya banyak dikenali menerusi watak jahat termasuk dalam The Glory dan Queen of Tears.
Saya pernah risau juga akan kekal dengan imej itu. Tapi watak ini beri saya nafas baharu,” ujarnya dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Park yang sebelum ini sering menerima pujian menerusi lakonan watak ‘psiko’ kini tampil sebagai simbol kemanusiaan dalam dunia Squid Game yang penuh kekejaman dan konflik jiwa.
Menurutnya, antara yang paling menyentuh jiwa ialah perjalanan Hyun-joo yang kekal berpegang pada nilai empati dan keadilan walaupun berada dalam situasi genting mempertaruhkan nyawa.
“Dalam dunia Squid Game yang kejam, dia (Hyun-joo) masih kekal dengan prinsipnya. Dia berani dan tetap mempertahankan orang lain walaupun tahu boleh mati bila-bila masa.
“Watak ini bukan saja mencabar secara emosi, malah membuka mata saya tentang erti kemanusiaan. Ia benar-benar mengajar saya sesuatu sebagai pelakon dan juga manusia,” katanya.
Sung-hoon menyertai Squid Game musim kedua sebagai salah seorang pemain utama, dikenali sebagai Pemain 120.
Menariknya, watak itu turut memaparkan isu transgender dan realistik, lari dari stereotaip biasa drama arus perdana.
Musim ketiga yang bakal ditayangkan bermula 27 Jun ini turut menjanjikan pertembungan terakhir yang paling mendebarkan antara dua musuh yang telah lama menyimpan dendam.