Pangkalan data khas pemandu bas

Pangkalan data khas pemandu bas

bas
KEADAAN bas yang dinaiki oleh 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas awal pagi 9 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan pangkalan data khas bagi merekodkan semua pemandu bas, sebagai langkah me­nangani isu kecuaian dan ke­tidakpatuhan dalam industri pengangkutan awam, susulan tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur Barat, yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Isnin lalu.

Perkara itu diputuskan pa­da Mesyua­rat Jemaah Mente­ri semalam selepas siasatan awal mendapati pemandu bas memiliki beberapa rekod ke­salahan lampau termasuk memandu melebihi had laju.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pangkalan data khas yang akan dibangunkan oleh Agensi Pe­ngangkutan Awam Darat (APAD) itu akan menyimpan rekod semua pemandu bas termasuk bas ekspres dan bas persiaran.

bas
ANTHONY LOKE SIEW FOOK

Katanya, ketika ini tiada sistem berpusat yang membolehkan syarikat atau pe­ngendali bas membuat semakan terhadap status pemandu sebelum mereka diambil bekerja.

Keadaan itu menyebabkan pemandu yang mempunyai rekod buruk masih boleh di­ambil bekerja tanpa pengetahuan majikan baharu.

“Kadang-kadang mungkin seorang pemandu yang buruk itu ddidapati tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Contohnya, dipecat daripada syarikat A, dia mungkin pergi ke syarikat B.

“Dengan adanya sistem ini, pengendali boleh menyemak sama ada seseorang pemandu pernah terlibat dalam kesalahan atau kecuaian sebelum membuat pelantikan.

Anthony berkata, Kabinet turut mengarahkan Kementerian Pengangkutan memberi penekanan lebih tegas terhadap beberapa aspek penting dalam industri bas awam.

“Antaranya, pemantauan terhadap pematuhan permit dan pengoperasian kende­raan, latihan serta penilaian menyeluruh ke atas pemandu serta penguatkuasaan lebih ketat terhadap syarikat dan pemandu yang ingkar terhadap peraturan keselamatan.

“Semua arahan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Kita tidak mahu ada ruang lagi untuk kecuaian,” katanya.

Ini kerana syarikat bas ter­babit dalam nahas berkenaan memiliki dua lesen iaitu dari­pada Kementerian Pelanco­ngan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan APAD, bertindak memajakkan permit kepada pihak ketiga tanpa kebenaran, selain gagal mematuhi syarat ke­selamatan wajib, termasuk pengaktifan sistem GPS.

Sehubungan itu katanya, permit syarikat bas itu dibatalkan serta merta dan sebarang rayuan tidak akan dilayan ke­rana kesalahan itu amat serius dan tidak boleh dikompromi.

Syarikat berkenaan didapati telah memajak kepada individu lain dari Kelantan dengan bayaran hanya RM500 sebulan.

Pemilik permit beralamat di Kedah, tetapi bas dikendalikan pihak ketiga yang tidak diberi kebenaran rasmi. Ini satu pelanggaran besar terhadap syarat permit.

Sistem GPS yang diwajibkan bagi semua kenderaan pengangkutan awam turut tidak diaktifkan, menyebabkan syarikat gagal menyerahkan rekod pergerakan bas kepada pihak berkuasa dan ia menunjukkan dua pelanggaran syarat yang serius iaitu pemajakan haram dan kegagalan mematuhi keperluan keselamatan asas. Keselamatan penumpang telah diabaikan sepenuhnya.

Isnin lalu, perjalanan kembali ke kam­pus 15 pelajar UPSI berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JR­TB), Jeli-Gerik.

Mengulas dakwaan pemandu bahawa kemalangan berpunca daripada masalah brek, Anthony berkata, siasatan masih dijalankan namun, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka pengguna jalan raya menunjukkan bas tersebut dipandu laju dan memotong kenderaan lain sebelum terbabas.

Mengenai cadangan agar Malaysia menggunakan teknologi anti-tamper seperti yang dilaksanakan di negara maju untuk mengelak manipulasi terhadap sistem speed limiter, beliau berkata, kerajaan sedang meneliti perkara tersebut secara serius.

“Pemasangan speed limiter diwajibkan ke atas kenderaan berat yang didaftarkan selepas tahun 2015. Bas terbabit didaftarkan pada 2013, tidak tertakluk kepada syarat itu.

Sementara itu, ketika dita­nya mengenai pekeliling Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mewajibkan pengemukaan rekod GPS oleh pengendali bas, beliau berkata, walaupun SPAD telah dibubarkan, peraturan ditetapkan agensi itu masih sah dan dikuatkuasakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN