Pak Wea pertahan hiasan tanduk terbau, tetuang

Pak Wea pertahan hiasan tanduk terbau, tetuang

ROZALI Abdul Rani menunjukkan produk tanduk kepala kerbau yang dihasilkannya di Temerloh, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Ketika dunia moden ‘menenggelamkan’ seni warisan tradisional, seorang guru dari daerah ini tampil mempertahan warisan budaya Melayu yang semakin hilang, iaitu pembuatan tetuang dan hiasan tanduk tengkorak kerbau.

Minat mendalam terhadap seni warisan Melayu mendorong Rozali Abdul Rani, 49, atau lebih dikenali sebagai Pak Wea, memulakan usaha berkenaan sejak 1996, namun hanya bergiat secara serius sejak 2020 selepas menerima permintaan masyarakat.

Sebagai seorang guru dan penggiat budaya aktif serta Ketua Pusat di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Timur, Seri Tualang, Temerloh, beliau bukan sahaja berkarya, malah menyebarkan kesedaran tentang seni itu kepada pelajar dan masyarakat melalui bengkel, pameran serta festival budaya.

Menurut Rozali, seni bukan sekadar hiasan mahan ia adalah saluran pendidikan dan pemupukan jati diri bangsa.

“Antara produk utama yang dihasilkan ialah tetuang, iaitu alat tiupan tradisional Melayu yang dahulu digunakan sebagai isyarat kecemasan serta hiasan tengkorak kerbau lengkap bertanduk. Ia dahulunya sinonim sebagai lambang keberanian dan status di rumah-rumah kampung.

“Tanduk yang digunakan pula bukan sebarangan. Pak Wea hanya memilih tanduk kerbau jantan kampung, kerana kekuatan dan lengkungnya sesuai dijadikan bahan mentah tetuang, “ katanya semalam.

Menurut beliau, tanduk kerbau balau (albino) adalah paling mahal dan sukar diperoleh dengan harga boleh mencecah ribuan ringgit.

Katanya, proses menghasilkan satu tanduk tengkorak lengkap boleh mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, bergantung kepada cuaca. 

“Kepala kerbau dijemur sama ada di atas tanah atau digantung di atas pokok. Jika diletakkan di tanah, bakteria dan serangga mempercepat pereputan, tetapi perlu diawasi agar tanduk tidak dijangkiti kuman.

“Kalau salah jemur, tanduk boleh merekah atau rosak. Kita kena jaga, alih selalu dan periksa supaya hasilnya kekal elok dan tahan lama,” katanya.

Setiap hasil kerja tangan Pak Wea mempunyai nilai tersendiri dengan harga tetuang bermula dari RM350, manakala hiasan tengkorak lengkap bertanduk boleh mencecah RM500 ke atas, bergantung kepada saiz tanduk dan usia kerbau. 

“Seni ini bukan benda mistik. Ini lambang kekuatan. Kita perlu tunjuk dan terangkan kepada anak-anak kita. Kalau tidak, seni sebegini  hilang macam itu sahaja,” katanya yang bercadang membuka galeri budaya mini di kampungnya yang menempatkan semua koleksi tanduk sebagai pusat rujukan dan lawatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×