PETALING JAYA: Penyanyi, Noraniza Idris kecewa dengan tindakan segelintir netizen yang sengaja mengecam dan melayangkan komen negatif dengan niat untuk memburukkan perniagaannya.
Kata penyanyi yang mesra disapa kak Ani itu, sebagai manusia, dia juga mempunyai perasaan justeru mudah tersinggung dengan kecaman netizen terbabit yang seakan tidak ‘berhati perut’.
“Orang senang mengata, mereka tak tahu apa yang saya lalui. Bukan senang promosikan produk secara dalam talian, ia tugas berat yang memerlukan komitmen.
“Jadi emosi saya mudah terjentik bila mendapat kecaman, sebab itu saya melenting. Mental saya koyak juga bila baca komen negatif.
“Paling menyedihkan apabila yang mengecam ini adalah orang Melayu. Kecewa saya. Bukannya saya tidak menerima pandangan. Tapi saya sedih, bila ada yang sengaja ada-adakan cerita untuk burukkan produk saya,” luahnya yang ditemui selepas program Game Changers bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam.
Noraniza mengulas mengenai tindakannya yang menempelak segelintir netizen yang menerusi sesi live di TikTok baru-baru ini mempertikaikan pembungkusan baharu produk Che Ani Premium keluarannya.
Penyanyi yang mendapat julukan Ratu Irama Malaysia itu berdepan tuduhan yang kononnya pembungkusan produknya menyamai rekaan beg tangan yang dikeluarkan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri.
Noraniza juga tidak menolak ada individu yang sengaja mencetuskan provokasi dengan niat untuk menggores perasaan dan melunturkan semangatnya yang sedang giat mengembangkan perniagaan.
“Saya tahu ada juga pembenci yang membuat pembelian semata-mata untuk memburukkan produk saya. Mereka bagi komen negatif, sifatkan produk ini sebagai sampah untuk melunturkan semangat saya.
“Saya pernah hilang rasa malu, menangis ketika live gara-gara cemuhan netizen. Mereka ini mahu apa sebenarnya? Tidakkah mereka sedar tindakan mereka menutup periuk nasi usahawan kecil macam saya?” sambungnya.
Pelantun lagu Awallah Dondang ini bagaimanapun bersyukur kerana didampingi insan-insan penting seperti suami dan anak-anaknya yang sentiasa memberikan sokongan agar semangat tidak luntur dan terus fokus mengembangkan perniagaan.
“Saya sebenarnya pernah hampir putus asa, tapi bernasib baik kerana ada suami dan anak-anak yang selalu memberi sokongan.
“Anak-anak selalu nasihatkan agar saya tidak ambil pusing terhadap kecaman dan komen negatif. Suami pula selalu sarankan supaya tidak melenting dan kerap beristighfar serta mohon kepada Allah agar melembutkan hati orang yang membenci kita,” kongsinya.- UTUSAN