Nahas UPSI: Tabung KPT Prihatin kumpul sumbangan RM1.7 juta - Utusan Malaysia

Nahas UPSI: Tabung KPT Prihatin kumpul sumbangan RM1.7 juta

MD. Amin Md. Taff (kiri) menerima serahan cek Tabung KPT Prihatin pada Majlis Tahlil Perdana untuk mangsa kemalangan bas melibatkan pelajar UPSI di Tanjung Malim. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin yang diwujudkan khas bagi membantu waris serta mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada Isnin minggu lalu berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM1.7 juta dalam tempoh tujuh hari.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dana terkumpul itu merupakan inisiatif lebih 40 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, agensi kerajaan dan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara.

“Sumbangan ini merupakan satu usaha bersama dalam mengumpulkan sedikit dana sebagai tanda keprihatinan, solidariti dan simpati terhadap keluarga mangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen ditunjukkan seluruh rakyat Malaysia yang tampil menyumbang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tahlil Perdana di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.

Katanya, Tabung KPT Prihatin dikendalikan sepenuhnya oleh UPSI menerusi akaun khas yang ditubuhkan.

“Setakat ini, sebanyak RM371,000 telah diserahkan kepada waris dan pelajar yang terkesan manakala baki sumbangan akan terus diagihkan dari semasa ke semasa termasuk bagi menampung kos perubatan dan kebajikan dalam tempoh seminggu ini.

“Bantuan awal sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 telah pun disampaikan sejurus selepas kejadian termasuk kepada keluarga mangsa yang cedera parah. Cuma selepas ini, saya serahkan kepada pihak UPSI untuk menguruskan dari segi pembahagian bakinya itu sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebulan gaji secara peribadi kepada tabung itu.

“Saya anggap ia satu sumbangan kecil. Kehilangan anak-anak ini jauh lebih besar daripada apa yang saya sumbangkan.

“Tidak perlu dihebohkan kerana saya hanya ingin bersolidariti bersama rakyat Malaysia dalam saat duka ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN