PUTRAJAYA: Laporan siasatan awal daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas berkenaan diberikan masa selama 30 hari sebelum ini untuk melengkapkan laporan tersebut.
“Laporan daripada jawatankuasa petugas khas itu akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan. Kita beri (mereka) 30 hari (untuk mengemukakan laporan awal).
“Apabila mereka bentangkan (kepada MOT), (kemudian) saya akan bentangkan terlebih dahulu kepada Jemaah Menteri sebelum kita membuat langkah seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Pada 19 Mei lalu, media melaporkan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut membabitkan anggota FRU diberi tempoh 30 hari bermula 15 Mei untuk mengemukakan laporan siasatan awal kepada MOT.
Loke dilaporkan berkata, pasukan berkenaan dianggotai pakar serta wakil agensi utama berkaitan dengan Ketua Inspektor Kemalangan Udara MOT, Briged Jeneral Tan Chee Kee sebagai pengerusi.
Dalam kejadian pada 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada pukul 8.50 pagi, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.
Lapan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN