CALIFORNIA: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran selepas beberapa ekor babi hutan yang diburu ditemui dengan daging dan lemak berwarna biru terang di kawasan Monterey County, California baru-baru ini.
Fenomena luar biasa itu mengejutkan penduduk tempatan apabila haiwan berkenaan dipotong dan didapati lemaknya berwarna biru pendarfluor sehingga digelar sebagai ‘neon blueberry’.
Siasatan awal Jabatan Perikanan dan Hidupan Liar California (CDFW) mendapati perubahan warna itu berpunca daripada bahan racun perosak berwarna, dikenali sebagai diphacinone, yang biasa digunakan petani untuk mengawal tikus, tikus belanda dan tupai.
Pegawai penyiasat racun perosak, Ryan Bourbour berkata, kesan pencemaran itu bukan sahaja menjejaskan babi hutan malah berisiko merebak kepada haiwan buruan lain seperti rusa, beruang dan angsa.
“Pemburu perlu sedar daging haiwan buruan mungkin tercemar jika haiwan tersebut terdedah kepada racun tikus. Racun ini boleh menyebabkan pendarahan dalaman serius,” katanya.
Pihak berkuasa turut memberi amaran supaya orang ramai tidak memakan daging haiwan yang mempunyai tanda pewarna biru kerana toksin tersebut boleh kekal dalam tisu walaupun selepas dimasak.
Babi hutan berkenaan dipercayai memakan umpan beracun serta tikus yang mati akibat racun sama.
Keadaan itu sekali gus boleh menyebabkan pemangsa termasuk manusia turut terdedah kepada bahaya sekiranya memakan daging haiwan tersebut.
Kajian pada 2018 menunjukkan kira-kira 8.3 peratus babi hutan di California mengandungi kesan racun rodentisida.
Ekoran itu, kerajaan negeri memperkenalkan larangan penggunaan racun diphacinone bermula tahun ini bagi melindungi hidupan liar. -AGENSI









