PUTRAJAYA: Monsun Barat Daya (MBD) yang bermula bulan lalu hingga September depan dijangka tidak membawa kesan terlalu ekstrem ekoran status semasa corak iklim El Nino Southern Oscillation (ENSO) kini berada dalam fasa neutral.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, susulan itu, impak kemarau yang sering dikaitkan dengan MBD dijangka tidak teruk berbanding tahun sebelumnya.
“Fasa neutral ENSO bermakna kita tidak akan menghadapi kesan melampau seperti kemarau teruk yang sering dikaitkan dengan El Nino atau hujan luar biasa yang datang bersama La Nina.
“Monsun tahun ini dijangka lebih biasa dan stabil,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media Mengenai Persiapan Kerajaan Menghadapi MBD di sini hari ini.
MBD lazimnya berlaku dari bulan Mei hingga September dengan membawa cuaca panas dan kering, khususnya di Semenanjung Malaysia.
Abdul Halim berkata, meskipun cuaca panas itu dijangka dalam keadaan tidak ekstrem, namun keadaan cuaca kering berpanjangan masih boleh memberi kesan negatif.
Katanya, kesan negarif itu seperti risiko kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar serta jerebu.
“Jika tidak ditangani secara berkesan, ia juga boleh menjejaskan sektor pertanian. Oleh itu, pihak Nadma bersama agensi berkaitan telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MBD,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai aspek pengurusan air sepanjang MBD, Abdul Halim berkata, satu empangan berada di tahap waspada kemarau hidrologi iaitu Empangan Malut di Kedah dengan status simpanan 37.6 peratus setakat 27 Mei lalu.
“Ramalan kemarau (simpanan empangan dan kadar alir sungai) menunjukkan majoriti empangan utama dan aras air sungai masih di tahap normal,” katanya.
Mengenai kebakaran terbuka pula, katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menangani 3,791 kes dari Januari hingga Mei 2025 dengan statistik tertinggi dicatatkan di Kedah (547), Johor (468), Terengganu (384), Selangor (368), dan Perak (357).
Susulan itu, katanya, Nadma sebagai agensi penyelaras utama telah mencadangkan beberapa inisiatif untuk memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi MBD.
“Ini termasuk penyelarasan operasi pembenihan awan bersama agensi terlibat jika paras empangan menunjukkan penurunan ketara.
“Penggunaan pam air Jabatan Pengairan dan Saliran akan diperluaskan untuk diguna pakai oleh agensi tindak balas seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat khususnya bagi operasi pemadaman kebakaran.
“Majoriti empangan utama dan aras air sungai di seluruh negara masih berada pada tahap normal yang mana JPS sudah menyediakan sebanyak 539 pam bergerak di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN