Mula dari kosong, bukan terus dapat semua - Ariz Lufias - Utusan Malaysia

Mula dari kosong, bukan terus dapat semua – Ariz Lufias

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun bergelar penyanyi dan pelakon, Ariz Lufias tidak pernah menganggap status selebriti sebagai tiket mudah untuk berjaya dalam dunia perniagaan.

Sebaliknya, Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 36, berkata, segala hasil yang diperoleh dalam perniagaan manisan tiramisunya adalah kerana usaha keras tanpa henti.

“Ramai tak tahu saya bangun awal, tidur lewat. Seharian buat tiramisu, balas mesej pelanggan, urus tempahan sendiri,” katanya kepada peminat dalam satu muat naik di TikTok baru-baru ini.

Ariz yang juga anggota kumpulan Forteen menjawab sindiran seorang individu di media sosial yang mendakwa kejayaan bisnes tiramisunya adalah kerana dirinya dikenali sebagai artis.

“Saya pun bermula dari kosong. Bukan terus dapat semua. Nak jadi artis pun dulu kena tolak banyak kali, pernah jatuh, pernah kecewa.

Isu ini tercetus selepas seorang ‘homebaker’ mendakwa usahawan kecil sepertinya susah untuk dapat sambutan kerana tidak dikenali ramai dan kurang bajet untuk pemasaran.

Menjawab kritikan itu, Ariz berkata, dia tidak pernah menganggap dirinya lebih daripada orang lain, malah menghormati semua peniaga kecil yang turut berusaha mencari rezeki halal.

“Saya tak pernah nak bersaing, saya percaya rezeki masing-masing. Yang penting, jaga kualiti produk dan layanan kita. Itu yang buat pelanggan datang balik.

“Kadang kita nampak orang senang, tapi tak nampak penat lelah di sebaliknya. Apa pun, jangan cepat hukum tanpa tahu cerita sebenar,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ariz kini mengusahakan perniagaan manisan tiramisu secara dalam talian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan manisan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN