KUALA LUMPUR: Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail semalam dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15, menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang akan menamatkan kontraknya pada 22 Jun ini.
Pelantikan rasmi itu disempurnakan dalam Majlis Serah Terima Tugas yang disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini semalam.
Mohd. Khalid, 60, sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Cawangan Khas mulai 8 Mei 2023, selepas dinaikkan daripada jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas I yang disandangnya sejak 25 Oktober 2022.
Berpengalaman luas dalam bidang risikan dan keselamatan, beliau mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 April 1987 dan memulakan khidmat di Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Sepanjang perkhidmatannya, Mohd. Khalid turut menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Security Liaison Officer (SLO) di London, United Kingdom dan bertugas di pelbagai peringkat kontinjen dan Ibu Pejabat Bukit Aman.
Dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak, beliau adalah lulusan Sarjana Undang-Undang Perbandingan (Comparative Laws) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pada 2 November 2023, beliau dikurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang keselamatan negara, pelantikan Mohd. Khalid dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan yang diyakini mampu membawa pembaharuan dan memperkukuh PDRM dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
Sementara itu, empat ketua polis negeri antara lapan pegawai kanan PDRM terlibat dalam pertukaran jawatan yang berkuat kuasa 21 Julai depan.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pertukaran itu melibatkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman manakala Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad akan memulakan tugas Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
“Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Deputi Komisioner Gilberd Philip Layang dilantik sebagai pengarah di jabatan sama dengan memangku pangkat Komisioner,” katanya.
Menurutnya, Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat), Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik Dan Teknologi Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Redzuan Abd. Hamid dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/ Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Katanya Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalulintas/ Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
“Pertukaran lain melibatkan Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat), Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Bahagian Teknikal/ Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Asisten Komisioner Nordin Md. Nor dilantik Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) di jabatan sama dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya. – UTUSAN








