‘Miniatur buat saya rasa berada di dunia kecil’ - Utusan Malaysia

‘Miniatur buat saya rasa berada di dunia kecil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Miniatur adalah versi kecil sesuatu objek yang besar dan kebiasaannya digunakan untuk tujuan hiasan, pendidikan, atau koleksi dalam kalangan penggemar setianya.

Miniatur juga mempunyai pelbagai jenis reka bentuk yang terdiri daripada seni bina, kenderaan, figura, lukisan dan peralatan elektronik.

Siapa sangka, objek kecil ini mampu menarik minat penyanyi dan penyampai radio, Haiza untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi kerana reka bentuknya yang bersifat comel.

“Saya sukakan miniatur. Saya suka kumpulkan benda yang kecil-kecil dan benda itu buat saya rasa teruja seolah diri saya berada di dunia kecil itu.

“Saya memang sukakan mainan. Tetapi minat pada miniature ini terpupuk sebab saya suka diorama kerana suka menonton filem Beetle Juice suatu ketika dahulu. Imaginasi saya seperti filem itu.

“Sesetengah orang suka ekstrem dan buat perkara di luar jangkaan. Orang mungkin ingat saya seorang yang membosankan tetapi ada orang menganggap hobi saya adalah satu kepuasan,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah penyanyi yang berusia 45 tahun itu, miniatur mampu memberikan dirinya kepuasan dan daya fokus yang tajam setiap kali mahu menyiapkan koleksi yang dimilikinya.

“Untuk menyiapkan satu miniatur ini memerlukan masa lama sebab perlu buat dengan teliti. Saya selalu siapkan satu set miniatur berbulan kerana kesibukan kerja.

“Saya akan buat benda itu ikut masa saya namun itu memberikan kepuasan untuk diri saya. Selain miniatur, saya juga sukakan lego.Sekarang pelbagai reka bentuk mereka keluarkan. Jadi, saya selalu beli dan buat bersama keluarga,” kongsinya.

Ditanya mengenai cabaran untuk melengkapkan setiap set miniatur yang dimiliki, Haiza mengakui hobinya itu memerlukan ketelitian yang tinggi dan kreativiti di luar kotak.

“Walaupun miniatur ini hanyalah mainan kecil, hendak menyiapkannya itu sangat mencabar. Kita perlu menggunakan gam untuk melekatkan setiap benda yang ada. Jika tersilap kita perlu tanggalkannya semula dengan cermat.

“Susun aturnya juga perlu dibuat secara teratur. Saya selalu mengikut kreativiti sendiri sahaja. Hobi ini, benar-benar buat saya berfantasi dengan dunia kecil. Saya rasa seolah ada benda kerdil yang melihat saya,” tambahnya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu mengakui untuk memiliki sesebuah koleksi miniatur yang lengkap memakan modal yang besar bahkan boleh mencecah ribuan ringgit.

“Saya tidak mengikuti mana-mana kelab, tetapi saya banyak mengikuti orang yang suka buat miniatur. Kita juga boleh menempah set miniatur yang ada di luar negara seperti Doll’s House.

“Sekarang pun ada sahaja kedai mainan yang menjualnya. Saya ada juga ikuti page yang ada keluarkan miniatur seperti ruang tamu dan dapur yang kecil.

“Tetapi sejujurnya harga satu set miniatur itu mahal. Setakat ini saya hanya berbelanja RM500 untuk koleksi yang saya ada. Tetapi saya pernah beli lego Marvel itu sebanyak RM2,000,” jelasnya.

Haiza bagaima­napun enggan mengambil pusing ten­tang tanggapan orang mengenai kegilaannya terhadap miniatur.

Katanya, hidupnya terasa bahagia apabila hobinya itu turut disokong oleh suami dan anak tercinta yang juga berkongsi minat yang sama.

“Mungkin ada yang beranggapan saya membuang masa. Tetapi hobi ini mendapat sokongan dari keluarga saya. Saya ingat suatu ketika itu saya pergi melancong di London dan ternampak Queen Mary’s Dolls House di Winsor Castle.

“Ketika itu saya seperti orang gila. Lama saya perhatikan setiap satu rekaannya daripada pameran tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN