PUTRAJAYA: Peningkatan minat rakyat terhadap laluan kemahiran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin positif apabila sehingga kini, sebanyak 140,000 permohonan kemasukan ke institusi berkaitan diterima melalui platform UP_TVET.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memberi tumpuan khusus dalam agenda pemerkasaan TVET negara dengan beberapa inisiatif strategik akan diumumkan sempena majlis perasmian sambutan sambutan Hari TVET Negara 2025, Khamis ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis itu yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Antara tumpuan ialah usaha menggalakkan penyertaan lebih meluas lepasan TVET dalam sektor keusahawanan berimpak tinggi, selari dengan keperluan ekonomi semasa.
“Langkah ini diharap dapat memperkukuh peranan TVET sebagai pemacu pertumbuhan dalam bidang bidang berpotensi tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Khas Hari TVET Negara 2025, di sini hari ini.
Lebih 5,000 peluang pekerjaan bakal ditawarkan melalui padanan kerjaya bersama majikan dari pelbagai sektor strategik bersempena majlis sambutan itu dengan menyasarkan kehadiran melebihi 150,000 pengunjung.
Bertema ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, sambutan ini menghimpunkan penyertaan meluas daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi TVET, industri serta masyarakat umum menyasarkan impak langsung terhadap pembangunan modal insan dan peluang kerjaya.
Menurut Ahmad Zahid, antara program tumpuan ialah pameran teknologi, pertandingan kemahiran, bengkel keusahawanan, sesi bimbingan kerjaya dan seminar bersama pakar industri.
Katanya, sambutan Hari TVET Negara 2025 kali ini akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, dengan pelbagai pengisian yang bersifat inklusif, interaktif dan strategik.
“Tujuan utama program ini adalah mendekatkan masyarakat dengan dunia TVET dan memperlihatkan bagaimana TVET mampu menjadi pemangkin pembangunan negara khususnya dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya.
Sambutan Hari TVET Negara 2025 memperkukuh komitmen berterusan kerajaan untuk membina laluan kemahiran sebagai arus perdana pembangunan negara, seiring aspirasi Malaysia Madami yang progresif, inklusif dan mampan. – UTUSAN