MEF sokong pelarian, pencari suaka bekerja secara sah

MEF sokong pelarian, pencari suaka bekerja secara sah

Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong cadangan supaya pelarian dan pencari suaka dibenarkan bekerja secara formal di bawah kerangka undang-undang yang selamat dan terkawal.

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu mampu memberi impak positif terutama dalam menangani kekurangan tenaga kerja kritikal dalam sektor-sektor tertentu.

Katanya, seramai 185,000 pelarian dan pencari suaka berdepan halangan undang-undang walaupun memiliki kemahiran.

“Dalam 185,000 itu, majoritinya adalah individu dalam usia bekerja, berkemampuan dan berpotensi untuk menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.

“MEF percaya, sekiranya diurus secara strategik, penyertaan mereka dalam pasaran buruh formal dapat membantu menangani pelbagai cabaran nasional.

“Ini khususnya dalam sektor yang mengalami kekurangan tenaga kerja kritikal seperti pertanian, pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan penjagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, penggajian sah juga mampu mengurangkan risiko eksploitasi selain meningkatkan tadbir urus serta pematuhan undang-undang buruh negara.

Katanya, penyertaan kumpulan tersebut secara formal juga mampu menjimatkan masa dan kos pengambilan pekerja asing, termasuk kos pengangkutan dan penginapan.

“Pemberian akses kerja mereka yang berdaftar dapat membantu daripada gangguan akibat perang dan penganiayaan, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa setiap pelarian yang diambil bekerja secara sah akan menjana nilai ekonomi bukan hanya melalui output kerja tetapi juga perbelanjaan, cukai dan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Syed Hussain, kerjasama dengan semua pihak berkepentingan sangat diperlukan untuk merangka dasar yang jelas, telus dan bertanggungjawab.

“MEF percaya bahawa kemasukan pelarian dan pencari suaka ke dalam tenaga kerja formal Malaysia adalah strategi menang-menang sekali gus memartabatkan komitmen kemanusiaan negara.

“MEF bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemegang taruh bagi merangka pendekatan yang berperingkat dan bertanggungjawab dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN