PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengkaji semula usul Generasi Penamat (GEG) dan membentangkan Rang Undang-Undang mengenainya di Dewan Rakyat bagi menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.
Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon berkata, kes penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia akan menjadi lebih membimbangkan jika terus tiada undang-undang menyeluruh untuk penguatkuasaan.
Beliau berkata, dasar GEG mampu menjadi pelengkap kepada usaha-usaha sedia ada iaitu antaranya pengharaman rokok elektronik atau vape di beberapa buah negeri.
“Oleh itu saya menggesa supaya Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula GEG serta membawa masuk semula usul tersebut ke Dewan Rakyat.
“Kami memerlukan sesuatu akta atau dasar bagi membendungkan penggunaan vape yang semakin berleluasa dalam kalangan anak muda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Tian Soon, sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak dengan lebih tegas dan menyeluruh untuk menangani masalah ini.
“Ia selaras dengan nama usul ini sebagai ‘Generational End Game’ untuk menyelamatkan generasi masa depan negara daripada ancaman ketagihan vape dan dadah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu berkaitan dadah dan vape dalam kalangan anak-anak perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan masa depan generasi muda, khususnya anak-anak Melayu yang dilihat paling terkesan.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan belum dapat diselesaikan sehingga kini walaupun berpuluh tahun dibincangkan untuk mencari kaedah menanganinya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil malah memaklumkan, platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape akan dikenakan tindakan tegas.
Untuk itu, satu mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan penguatkuasaan itu. – UTUSAN











