KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pencipta lagu popular Indonesia, Rizky Febian, kembali ke Kuala Lumpur menerusi konsert “Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur” yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 29 November depan.
Konsert yang dibawakan oleh Kumho International dan dianjurkan AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia itu bakal memberi peluang kepada peminat Malaysia untuk menikmati karya-karya Rizky secara langsung dalam sebuah persembahan yang sarat dengan elemen cinta, kerinduan dan perjalanan emosi.
Dikenali menerusi lagu seperti Kesempurnaan Cinta, Penantian Berharga, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama, Rizky dijangka menghidupkan suasana romantik sambil membawa penonton menyanyi bersama sepanjang malam.

Menurut Rizky, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muziknya, malah dia teruja untuk kembali bertemu dengan peminat yang selama ini memberikan sokongan terhadap karya-karyanya.
“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.
“Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” katanya.
Menerusi “Malam Rawan”, Rizky bukan sahaja bakal mempersembahkan lagu-lagu popularnya, malah mengajak peminat menyelami sisi muziknya yang dekat dengan kisah kehidupan dan perasaan.
Tiket konsert mula dijual hari ini secara dalam talian menerusi Ticket2U https://www.ticket2u.com.my/cd?id=52284&t=1, dengan harga bermula RM228 bagi CAT 1 (Standing), RM238 untuk CAT 3 (Normal Seat) dan RM248 bagi CAT 2 (Premium Seat).











