PETALING JAYA: Mayat seorang wanita warga asing ditemukan di sebuah rumah kedai di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam disyaki mati akibat dibunuh.
Penemuan mayat wanita berusia 37 tahun itu dimaklumkan pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pukul 12.34 tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa dijumpai terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik.
“Pemeriksaan pada badan mayat mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan tiada kesan cedera.
“Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan retak di kepala disyaki dipukul objek tumpul dan lemas disyaki akibat ditekap.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, mangsa tinggal beberapa bulan di rumah itu dan bekerja sebagai pembantu kedai makan. – UTUSAN