Mara henti hantar pelajar ke AS

Mara henti hantar pelajar ke AS

ASYRAF Wajdi Dusuki ketika ditemui di London, United Kingdom semalam.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke uni­versiti-universiti di Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia mengambil kira situasi politik dan dasar-dasar semasa AS yang dilihat berubah-ubah yang dibimbangi akan memberi impak kepada para pelajarnya.

Katanya, perbincangan de­ngan pelajar-pelajar yang sudah berada di kolej persediaan untuk ke AS ketika ini akan dilakukan pihak pengurusan Mara bagi menentukan haluan baharu pengajian mereka.

Tambahnya, perbincangan sa­ma juga akan dilakukan bersama kira-kira 266 pelajar tajaan Mara yang sedang berada di negara Uncle Sam itu supaya mereka dapat menyambung pengajian di negara lain yang turut menawarkan bidang sama.

“Mara sekarang fokus kepada pelajar-pelajar kami yang sedang berada di AS, sejauh mana ia menjejaskan penga­jian mereka. Tetapi pelajar-pelajar yang akan datang, saya telahpun meminta pihak pengurusan mulakan perbinca­ngan dengan pelajar ini untuk kita hentikan penghantaran ke AS dan menukar mereka ke negara-negara lain.

“Ketidaktentuan polisi yang berubah-ubah, jadi Mara telah berbincang untuk tidak meriskokan 131 pelajar tajaan Mara yang berada di kolej-kolej persediaan yang sepatutnya akan ke AS Oktober ini.

“Perbincangan akan dibuat dengan mereka supaya menukar haluan pendidikan ke nega­ra lain, bukan lagi AS,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Asyraf Wajdi kini berada di London bersama delegasi Malaysia yang menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke United Kingdom (UK) bermula hari ini.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi dan profesor kanan Universiti Cambridge bagi meneroka potensi kerjama antara Mara dan universiti berkenaan dalam usaha meningkatkan kualiti Pendidikan dan pembangunan mo­dal insan negara.

Kata Asyraf, UK, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun dan China menjadi antara negara sesuai kepada pelajar Mara di AS, untuk mengubah lokasi pengajian mereka.

Negara berkenaan turut me­nawarkan bidang-bidang yang sama malah kosnya lebih murah berbanding dihantar ke Universiti Harvard dan universiti-universiti lain di AS.

“Penghantaran pelajar ke luar negara berdasarkan keperluan strategik negara pada masa hadapan, bidang-bidang ini menjadi kepentingan nega­ra. Bidang-bidang ini turut ditawarkan di universiti-universiti di New Zealand, Australia, UK, Jepun, Korea Selatan malah juga China,” katanya.

Antara bidang pengajian dimaksudkan ialah sains komputer, kejuruteraan, dan bidang-bidang teknolog tinggi lain seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Sebelum ini media mela­porkan, pentadbiran Trump, melarang Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar asing, selain memaksa pelajar sedia ada berpindah ke universiti lain atau berdepan risiko kehilangan status sah mereka.

Larangan itu, yang berkuat kuasa bagi sesi 2025-2026, dibuat selepas Washington menuduh Universiti Harvard menyokong antisemitisme dan bekerjasama dengan Parti Komunis China.

Bagaimanapun, pada 23 Mei lalu lalu, hakim persekutuan AS menyekat sementara rancangan kerajaan AS itu melalui perintah injunksi, selepas universiti itu memfailkan saman terhadap langkah kerajaan AS di Mahkamah Daerah AS bagi Daerah Massachusett.

Universiti Harvard mene­rusi saman berkenaan, menu­duh pentadbiran Trump cuba memberi tekanan ke atas institusi itu melalui tindakan balas yang didakwa tidak sah.

Minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengarahkan pemprosesan visa pelajar dihentikan, dalam langkah terbaharu menyasarkan pelajar asing di negara itu.

Rumah Putih kini memperketat tindakan terhadap pelajar asing di universiti AS, termasuk membatalkan visa dan mengusir mereka yang terlibat dalam protes perang di Gaza, dengan menuduhnya menyo­kong kumpulan pejuang Ha­mas.

Menurut laporan, Rubio mengarahkan kedutaan dan konsulat supaya tidak membenarkan sebarang temu janji baharu untuk visa pelajar atau pertukaran sehingga arahan lanjut dikeluarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN