Malaysia kekal teguh terpasak sebalik cabaran global

Malaysia kekal teguh terpasak sebalik cabaran global – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengambil langkah strategik secara menyeluruh dan terangkum dengan melibatkan pelbagai pihak demi memastikan kestabilan ekonomi dan daya saing negara terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun dunia sedang dilanda pelbagai cabaran termasuk membabitkan ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan, namun ekonomi Malaysia kekal teguh dan berdaya saing.

Katanya, Malaysia menjadi antara negara terawal dan tangkas bertindak melindungi kepentingan industri, perniagaan dan kebajikan rakyat.

“Keutuhan negara tidak hanya terletak pada angka pertumbuhan semata, tetapi juga pada kekuatan daya tahan rakyat terbanyak. Peningkatan hasil agro-tani, produk tempatan dan ketahanan industri domestik terus menjadi tonggak yang memperkukuh ekonomi. 

“Dukungan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap inisiatif ini memperlihatkan semangat kebangsaan yang tinggi dan kesedaran terhadap peri penting sikap kemandirian dalam cabaran global yang tidak menentu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Ulangtahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kepengerusian Malaysia di peringkat ASEAN tahun ini juga memperkukuhkan kedudukan negara sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau.

Katanya, pendekatan tuntas terangkum yang diambil membuka ruang kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan, teknologi hijau, keterjaminan makanan dan keamanan serantau. 

“Sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini adalah yang terbaik dalam sejarah ASEAN tatkala buat julung kalinya Malaysia sebagai Pengerusi berjaya mempertemukan tiga benua gergasi yakni Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN.

“Ia adalah usaha dan upaya kita menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarak ekonomi rakyat dan negara, selain merapat hubungan antara negara dalam pelbagai bidang yang punyai kepentingan bersama. 

“Sidang Kemuncak yang baru selesai tersebut serta penganjuran LIMA di Langkawi membuktikan betapa semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam usaha kita menterjemahkan hasrat dan cita negara. 

“Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia di Langkawi dan kehebatan PDRM dan seluruh jentera kerajaan serta swasta di Putrajaya dan Kuala Lumpur sungguh mengagumkan,” katanya.

Tambah beliau, Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan percambahan peluang pekerjaan. 

“Ia bukan sekadar agenda pelancongan, tetapi juga merupakan manifestasi kecintaan terhadap tanah air, budaya dan warisan. 

“Negara akan bersedia menerima kehadiran dunia dengan senyuman, keramahan, dan semangat kekitaan yang tulus dari setiap rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN