KUANTAN: Keterujaan peminat makanan eksotik menikmati hidangan belangkas bakar atau kerabu telur belangkas mengancam populasi haiwan itu kerana seekor belangkas yang dimasak turut ‘menghancurkan’ 18,000 biji telurnya.
Sedangkan, proses menunggu seekor belangkas mencapai usia matang dan dewasa serta kembali semula ke pantai untuk bertelur memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.
Penyelidik Bidang Biologi Marin dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Prof. Madya Dr. Zaleha Kassim berkata, pada masa ini, trend makan belangkas bertambah popular selepas Jabatan Perikanan menggazetkan haiwan tersebut sebagai komoditi perikanan dan memukat belangkas menjadi aktiviti perikanan.
“Seekor belangkas berharga RM25 dalam restoran dan antara RM10 ke RM14 di pasar nelayan. Yang menjadi sasaran nelayan adalah belangkas betina yang sarat dengan telur.
“Belangkas jantan tiada permintaan dalam pasaran. Jika tangkap bersama belangkas betina, ia dibuang atau dibiarkan kering di pantai. Ini sekali lagi memberi kesan negatif terhadap populasi dan produktivitinya pada masa akan datang.
“Jika situasi ini berterusan, jumlah belangkas betina yang naik ke darat untuk bertelur akan berkurangan sekali gus menjejaskan pembiakan haiwan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Dr. Zaleha berkata, data pendaratan untuk tujuan pembiakan dilakukan terhadap belangkas menunjukkan tiada peningkatan yang baik dalam tempoh 10 tahun.
Katanya, daripada pemerhatian dilakukan seawal 2009 sehingga 2018, iaitu sekitar tempoh 10 tahun, jumlah belangkas setiap kali mendarat di kawasan pembiakannya tidak menunjukkan pertambahan.
“Paling banyak boleh ditemukan pada satu-satu waktu hanyalah sekitar hampir 300 ekor membabitkan 150 pasangan,” katanya.
Beliau berkata, selain dimakan, sampah-sarap di muara dan pantai, turut mengganggu proses pembiakan belangkas yang naik untuk bertelur.
“Pembinaan struktur-struktur keras seperti tembok pemecah ombak, konkrit dan simen mengurangkan kawasan pasir berlumpur untuk kawasan sarang belangkas,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sepertimana kerajaan melalui Jabatan Perikanan mengenakan lesen pajakan ke atas kawasan yang ada tempat pengeraman telur penyu, perkara sama perlu dilakukan membabitkan belangkas.
Katanya, Jabatan Perikatan perlu mengenakan bukan sahaja lesen menangkap malah menjual belangkas dalam usaha mengawal populasi haiwan dalam kumpulan Arthropoda itu.
“Penjualan telur penyu dikawal Jabatan Perikanan bagi mengehadkan eksploitasi tanpa kawalan terhadap haiwan ini. Untuk belangkas pun boleh dilaksanakan perkara sama. Penyu dan belangkas mempunyai ekologi pembiakan yang sama iaitu perlu naik ke darat untuk bertelur di pantai,” katanya.
Katanya, Jabatan Perikanan boleh menjadualkan nelayan dalam proses menurunkan pukat di lokasi dikenal pasti laluan dan kawasan pembiakan belangkas.
“Sekiranya kita kena kenal pasti kawasan pembiakan dan laluan belangkas, janganlah turunkan pukat di situ. Kalau mahu juga turunkan pukat, kena dapatkan lesen sepertimana lesen untuk sewa kawasan pengeraman telur penyu di pantai,” katanya. – UTUSAN










