MAIJ taja 10 pasangan pengantin

MAIJ taja 10 pasangan pengantin

SEPULUH pasangan pengantin yang menyertai Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah Pontian di Dewan Muafakat Johor, Taman Saujana, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sepuluh pasangan pengantin bertuah dipilih menjayakan Walimatulurus Perdana Peringkat Daerah Pontian sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) tahun ini di Dewan Muafakat Johor, Taman Saujana di sini, semalam.

Semua perbelanjaan majlis ditanggung sepenuhnya oleh MAIJ dan pengantin hanya menyediakan RM200 bagi bayaran upah kepada jurunikah dan saksi.

Setiap pasangan juga boleh membawa 10 ahli keluarga bagi meraikan hari penuh bersejarah menaiki jinjang pelamin secara beramai-ramai.

Pasangan diijab kabulkan oleh Kadi Besar Negeri Johor, Halid Sono Al-Hafiz; Kadi Daerah Pontian, Makhadzir Abdan; Kadi Daerah Batu Pahat,

Mohd Fauzi Bachok; Kadi Daerah Kulai, Mohamad Hamizan Sayuti dan Imam Daerah Pontian, Musa Muda.

Majlis perasmian dilakukan Pegawai Daerah Pontian, Kamal­ludin Jamal.

Kamalludin berkata, penganjuran program itu bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan tanda prihatin kerajaan negeri dalam membantu rakyat.

Katanya, dalam masa sama membantu golongan muda me­mulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih mudah dan penuh barakah, sekali gus me­ngurangkan kos penganjuran majlis perkahwinan.

“Memberikan kefahaman ke­pada masyarakat tentang konsep perkahwinan dan kenduri kahwin yang berlandaskan syarak,” katanya ketika berucap.

Tambah Kamalludin, beliau berharap majlis sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai pasangan muda berkahwin dengan lebih cepat.

“Dengan kos penganjuran maj­lis kenduri kahwin yang memerlukan perbelanjaan besar, Walimatulurus Perdana seperti ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan mereka” ujarnya.

Bagi Muhammad Zarith Irsyad Asmawi, 23, dan pasangannya, Farahliana Roslan, 22, mereka bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar serta sempurna.

Muhammad Zarith Irsyad ber­kata, dia bekerja sebagai penghantar makanan manakala iste­ri­nya bekerja di sebuah taman tema dan perkenalan mereka telah berjalan selama lima tahun.

“Kami bertunang hanya me­ngambil masa selama tiga bulan dan gembira kerana terpilih menyertai program Walimatulurus Perdana ini,” katanya

Seorang lagi pasangan, Muhammad Hidayahtus Solihin Moh, 20, dan pasangannya, Anis Umairah Abdullah, 20, memberi­tahu, mereka bersyu­kur kerana majlis berlangsung seperti diimpikan.

Muhammad Hidayahtus Solihin berkata, dia berkerja sebagai mekanik kenderaan manakala isterinya pembantu kedai makan dengan pendapatan seba­nyak RM30 sehari.

“Pendapatan saya pula kira-kira RM1,500 sebulan. Kami bersyukur terpilih menyertai program Walimatulurus Perdana anjuran MAIJ,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN