Mahkamah sahkan lelaki misteri bukan bapa Jennie Blackpink - Utusan Malaysia

Mahkamah sahkan lelaki misteri bukan bapa Jennie Blackpink

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOREA SELATAN: Kemenangan berpihak kepada penyanyi popular Korea Selatan, Jennie Blackpink apabila Mahkamah Seoul menolak tuntutan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bapa kandung bintang K-pop itu.

Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai A, difahamkan sebelum ini mengemukakan dakwaan mengejutkan kononnya dia ialah bapa sebenar Jennie, malah bertindak menulis sebuah buku menggunakan nama dan imej penyanyi itu sebagai muka hadapan.

Namun, selepas penelitian bukti dan dokumen rasmi, mahkamah membuat keputusan bahawa tuntutan A adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.

“Tiada bukti menyokong dakwaan defendan selain daripada kenyataan sendiri. Rekod rasmi daftar keluarga menunjukkan individu lain sebagai bapa kandung Jennie,” jelas kenyataan rasmi mahkamah.

Mengikut perintah mahkamah, semua salinan buku yang telah diterbitkan oleh A juga diarahkan untuk dihapuskan serta-merta.

Difahamkan, dalam prolog novel berkenaan, A mendakwa secara terbuka bahawa Jennie ialah anak perempuannya.

Kenyataan tersebut kemudiannya tular dalam kalangan peminat dan mencetuskan pelbagai spekulasi liar.

Walaupun tiada tuntutan harta difailkan, mahkamah tetap memutuskan bahawa hak peribadi Jennie telah dicerobohi.

Susulan itu, A diarahkan untuk menanggung semua kos guaman dan perbicaraan yang terlibat dalam kes tersebut.

Perkembangan ini sekali gus memberi kelegaan buat Jennie dan keluarga yang terkesan dengan dakwaan tidak berasas itu.

Setakat ini, pihak pengurusan Jennie masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan tersebut.

Jennie atau nama sebenarnya Jennie Kim merupakan salah seorang ahli kumpulan sensasi Blackpink yang cukup dikenali di seluruh dunia dengan jutaan pengikut di media sosial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN