PETALING JAYA: Pihak bank secara jelas boleh memberikan sebarang maklumat jika diarahkan pihak mahkamah.
Pengarah Urusan Graymatter Forensic Advisory Sdn Bhd, Raymon Ram berkata, untuk proses tersebut, syarikat di negara ini memerlukan dokumen seperti rekod transaksi bank, profil pelanggan dan polisi dalaman untuk membuktikan kes penipuan atau pelanggaran kontrak.
Namun, menurutnya, bank terikat dengan undang-undang kerahsiaan seperti Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA), Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan Akta Keterangan Buku Jurubank.
“Secara umumnya, bank tidak akan beri dokumen penyata transaksi, fail ‘Kenali Pelanggan Anda’ (KYC) atau rekod audit melainkan jika diarahkan oleh mahkamah seperti melalui perintah mahkamah atau sapina dalam tempoh tertentu, dan permintaan biasa oleh syarikat tanpa tindakan undang-undang kebiasaannya akan ditolak,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pengecualian yang membenarkan pendedahan maklumat di bawah Jadual 11 FSA biasanya hanya untuk keperluan pengawalseliaan atau perintah mahkamah, bukan untuk kes sivil biasa.
“Jadi, tanpa sebab sah di sisi undang-undang, bank tidak akan menyerahkan penyata transaksi, fail “Kenali Pelanggan Anda” (KYC) atau rekod audit.
“Malah, walaupun selepas mahkamah keluarkan perintah (benarkan pendedahan maklumat), proses dalaman bank boleh melambatkan penyerahan dokumen kerana dokumen lama perlu dicari semula, tandatangan disahkan dan dokumen melalui semakan pematuhan.
“Dokumen dalaman seperti prosedur operasi standard (SOP) dan manual anti-pengubahan wang haram (AML) pula dianggap sulit dan hak milik bank,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga risiko maklumat bocor kerana permohonan mendapatkan bukti (pre-action discovery) bukan proses sulit.
“Ini bermakna pihak bank atau individu yang disiasat mungkin tahu lebih awal tentang tuntutan, ini boleh menyebabkan mereka menyembunyikan atau memindahkan aset.
“Sebab itu, peguam biasanya memohon injunksi Mareva (bekukan aset) pada masa yang sama,” katanya.
Sementara itu, bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM), Muhamad Nazri Shaidon berkata, perlindungan maklumat pelanggan adalah tanggungjawab undang-undang penting bagi semua institusi kewangan.
“Ini ditegaskan dalam polisi BNM mengenai Pengurusan Maklumat Pelanggan dan Pendedahan Yang Dibenarkan,” katanya yang pernah bertugas di Jabatan Penguatkuasaan dan Perisikan Kewangan BNM.
Beliau bersetuju bahawa undang-undang ini boleh menyukarkan syarikat mendapatkan bukti awal seperti rekod transaksi atau SOP dalaman yang tidak boleh diserahkan sewenang-wenangnya oleh pihak bank.
Sebagai contoh, garis panduan tambahan atau soalan lazim (FAQ) boleh disediakan oleh BNM berdasarkan dokumen MCIPD 2023 untuk menjelaskan bila dan bagaimana maklumat pelanggan boleh didedahkan.
“Bank juga disaran menetapkan prosedur yang jelas bagi permintaan bukti – seperti menggunakan format surat undang-undang rasmi, menyenaraikan dokumen yang perlu disertakan (seperti sijil Seksyen 129, dokumen guaman), anggaran masa proses, dan caj yang dikenakan.
“Setiap bank juga wajar melantik pegawai khas dalam unit undang-undang atau pematuhan sebagai ‘penghubung terus’ supaya proses lebih tersusun dan pantas untuk pelanggan dan peguam yang mewakilnya,” katanya.-UTUSAN