KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengambil masa dua jam untuk membaca 132 pertuduhan terhadap seorang wanita yang berhadapan pertuduhan berkaitan pengubahsuaian sistem pangkalan data.
Bekas kakitangan syarikat penyiaran televisyen, Nora Idayu Jaafar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meminda sistem pengurusan pelanggan syarikat dengan menukar status akaun seramai 132 pelanggan biasa kepada akaun korporat tanpa kebenaran sekitar 2014.
Perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas di Unit Sokongan Komersial di pejabat Astro, Menara Icon, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun Hakim Norma Ismail memerintahkan wanita itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama 30 hari bagi penilaian psikiatri selepas peguam tertuduh, Daniel Annamalai memaklumkan anak guamnya telah mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik swasta.
“Doktor mengesyaki anak guam saya mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan telah mengeluarkan surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abdul Rahman kemudian memohon mahkamah mengeluarkan arahan sewajarnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan perkembangan lanjut hasil penilaian psikiatri manakala baki 581 pertuduhan juga mungkin akan dibacakan pada tarikh tersebut.
Pada prosiding 4 Jun lalu, tertuduh pengsan selepas 30 pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Pada tarikh tersebut, wanita terbabit sepatutnya didakwa atas 743 pertuduhan meminda pangkalan data syarikat secara tidak sah. – UTUSAN