SEREMBAN: Lima individu termasuk seorang pengawal keselamatan yang cedera parah ditetak dalam pergaduhan di hadapan restoran makanan segera di Bandar Baru Nilai, awal pagi Ahad lalu telah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, empat suspek lelaki dan mangsa dalam kes pergaduhan itu telah ditahan di sekitar Nilai dan direman bagi membantu siasatan.
Abdul Malik berkata, bagaimanapun tiada senjata yang dirampas susulan penahanan kesemua suspek memandangkan barang-barang tersebut telah ditemui di lokasi kejadian.
“Setakat ini, pihak polis sudah menahan empat suspek yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan sejak Ahad lalu dan mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Mangsa yang ditetak turut ditahan kerana disyaki merusuh dan direman selama dua hari, namun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Malik, mangsa memaklumkan menerima kira-kira 400 jahitan di seluruh badan akibat ditetak menggunakan parang dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu.
“Mangsa lelaki warga tempatan berusia 30-an itu hanya dibenarkan reman selama dua hari kerana keadaan kesihatannya,” katanya.
Jelas Abdul Malik, kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 326 dan seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pengawal keselamatan berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan individu tidak dikenali dalam satu kejadian pergaduhan di lokasi terbabit.-UTUSAN