‘Letak suami di kedudukan yang betul, hormati dia’ - Utusan Malaysia

‘Letak suami di kedudukan yang betul, hormati dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terus menjadi inspirasi dalam kalangan wanita, selebriti, Neelofa tampil berkongsi buah pandangan serta menitipkan nasihat berkaitan ketaatan kepada suami.

Menurut Neelofa, darjat seorang suami perlu diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi meskipun si isteri mempunyai pangkat atau kemewahan yang lebih besar berbanding mereka.

“Apabila seseorang isteri meletakkan suaminya di tempat yang betul, maka senang untuk dia (isteri) memahami apa yang dia kena buat.

“Sekarang ramai yang melangkah masuk rumah tapi dia masih bawa status sebagai seorang bos ataupun dengan memiliki harta yang banyak.

“Jadi bagaimana awak mahu mendengar cakap suami? Macam mana awak nak minta keizinannya? Kata mereka, ‘kenapa saya nak minta keizinan, kalau aku boleh buat semua benda sendiri?’

“Tetapi dalam Islam kena minta izin daripada suami sebelum keluar rumah atau buat sesuatu perkara,” katanya menerusi The Grow and Glow Podcast.

Dalam masa sama, isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu turut menegaskan para wanita menghormati suami agar menjadi teladan yang baik untuk anak-anak.

“Cara percakapan pun mestilah seperti dengan seseorang yang kita hormati. Memanglah zaman sekarang orang menganggap suami mereka seperti ‘bestie’ (kawan baik).

“Tetapi kena ada satu lapisan hormat yang kita letakkan terutama bagi yang ada anak. Apabila mereka melihat perhubungan ibu bapa seperti itu maka mereka juga akan ikut dan meneruskan dengan cara yang sama.

“Tetapi apabila seorang isteri ada perasaan hormat kepada suami, bercakap dengan cara yang baik, minta izin, sediakan keperluan suami, jadi anak-anak pun akan melihat. Seperti kita melihat mak ayah kita dahulu,” jelasnya.

Kagum dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet memuji sikap Neelofa yang sentiasa mengutamakan suaminya meskipun dia adalah seorang wanita yang mampu memiliki segalanya.

Sekadar info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 26 Mac 2021.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal, 4, dan Abdullah Abbas, 2.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN