MELAKA: Pemikiran pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu lebih terarah menjadi teknousahawan berbanding kerja makan gaji.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET menawarkan peluang cerah dalam sektor keusahawanan dan sokongan kerajaan amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Beliau berkata, institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah melahirkan 50 jutawan dalam pelbagai bidang.
“Antara usahawan yang paling berjaya adalah lepasan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang mengeluarkan produk bateri kereta dan motosikal jenama Bateriku.com. Ini adalah contoh yang baik, jadi adalah munasabah jika kursus TVET turut disertakan dalam teknousahawan.
“Tahun ini kerajaan akan memberikan tumpuan khusus kepada keusahawanan berasaskan kemahiran dan teknousahawan. Hasrat kita jelas bagi melahirkan lebih ramai graduan TVET yang bukan sahaja mahir daripada segi teknikal dan praktikal tetapi mempunyai semangat keusahawanan yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, setakat ini jumlah pelajar yang mengikuti kursus di pelbagai institusi TVET berjumlah 436,285 orang.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, persepsi masyarakat, ibu bapa dan industri terhadap TVET berubah dengan ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
“Anak muda pula semakin berani memilih laluan yang satu ketika dahulu dianggap jalan belakang. Tahun lalu seramai 212,022 pelajar iaitu 53.56 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf telah memilih institusi TVET.
“Bagi pengambilan sesi Julai 2025 pula, sehingga 10 Jun lalu, lebih 140,000 permohonan telah diterima menerusi platform UP_TVET,” ujarnya. – UTUSAN