Lepas ikan keli Afrika tanpa nasihat DOF

Lepas ikan keli Afrika tanpa nasihat DOF

ANGGOTA Jabatan Perikanan (DOF) Selangor meninjau kawasan tasik Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang ekoran tindakan pelepasan ikan tanpa khidmat nasihat agensi tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penganjur pertan­dingan memancing ikan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang tidak mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Perikanan (DOF) Selangor untuk melepaskan 1,300 ikan keli Afrika ke tasik.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya mendapati sebanyak 2,000 kilogram (kg) ikan keli Afrika atau nama saintifiknya Clarias Gariepinus dianggarkan sekitar 1,300 ekoran dengan berat purata 1.5kg seekor telah dilepaskan ke dalam tasik MAEPS oleh penganjur pada minggu lalu.

Katanya, DOF Selangor melihat tindakan pelepasan ikan asing ke perairan umum boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem dan mengancam spesies tempatan selain kesan jangka panjang terhadap sumber perikanan negara. 

“Tiada sebarang pemakluman atau permohonan mendapatkan khidmat nasihat mengenai pelepasan itu daripada Pejabat Perikanan Selangor.

“Semua pihak termasuk penganjur acara, agensi kerajaan dan swasta perlulah mendapatkan khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Perikanan negeri sebelum melaksanakan aktiviti pelepasan ikan ke perairan awam.

“Ini bagi memastikan tindakan itu selaras dengan prinsip kelestarian alam dan tidak mendatangkan risiko kepada ekosistem tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sebelum ini, tindakan pelepasan ikan larangan itu tular di media sosial dan mendapat kecaman berikutan tasik itu mempunyai beberapa saliran air keluar ke Wetland (Putrajaya) dan Sungai Langat.

Tasik MAEPS itu juga didakwa mempunyai beberapa spe­sies ikan tempatan yang masih berkembang biak dengan baik seperti  sebarau dan tapah.

Menurut Noraisyah, tasik itu dikenalpasti mempunyai sistem kawalan air yang baik termasuk  jaring berdiameter dua inci di saluran dan kawasan sambungan tertutup. 

“Justeru, beberapa langkah mitigasi  dipersetujui antaranya menerusi pemasangan jaring tambahan dan tong pengumpulan ikan keli yang ditangkap ketika pertandingan selain bahan hebahan kesedaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN