LUMUT: Jualan lemang pada harga Rahmah RM10 sebatang tanpa mengira saiz sempena Aidiladha oleh seorang peniaga di Manjung di sini mendapat sambutan daripada pembeli.
Ahmad Sukur Noh, 53, yang dikenali dengan panggil Pak Din Lemang menjangkakan jualan lemang kali ini boleh mencecah sehingga 6,000 batang berikutan harga Rahmah yang ditawarkan.
Dia yang mula membakar lemang sehari sebelum Aidiladha memberitahu, kemungkinan jualannya akan beroperasi hingga hari raya keempat jika masih ada permintaan.
Menurutnya, jualan harga Rahmah yang ditawarkan untuk membolehkan lebih ramai pelanggan membeli lemang pada harga rendah.
“Hari pertama membakar lemang iaitu sehari sebelum raya, saya lebih fokus memasak lemang yang sudah ditempah pelanggan untuk memastikan mereka dapat menikmati lemang pada Aidiladha.
“Lemang dijual pada harga RM10 sebatang tanpa mengira saiz menjadi pilihan pelanggan yang sejak awal lagi sudah beratur panjang untuk membeli sehari sebelum Aidiladha.
“Jualan lemang pada harga Rahmah membantu melariskan jualan yang saya jangka boleh mencecah sehingga 6,000 batang,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Menurutnya, lokasi perniagaannya di tepi jalan dikenali Padang Lemang Manjung di sini turut memudahkan pelanggan singgah untuk membeli lemang.
Katanya, pengguna yang balik kampung untuk menyambut Aidiladha terutama dari Kuala Lumpur ke utara antara yang paling ramai singgah di gerai jualannya selain pelanggan tetap dan yang tinggal di sekitar Manjung.
“Ada pelanggan yang membuat tempahan awal dan mengambil lemang sebelum mereka balik kampung. Ramai di antara mereka yang merupakan pelanggan tetap yang sudah mengetahui tentang keenakkan lemang yang kami masak.
“Selain lemang, pelanggan juga boleh membeli rendang tok yang sedang dimakan dengan lemang,” katanya.
Dia yang berpengalaman 13 tahun menjual lemang menggunakan 200 kilogram santan dan 100 kilogram beras pulut untuk memasak lemang kali ini.
Katanya, dia dibantu isterinya dan beberapa pekerja untuk memastikan tempahan pelanggan dapat disiapkan pada waktu yang ditetapkan.
“Proses membuat lemang tidak sukar cuma membakar lemang mengambil masa yang agak lama selain mengawal api supaya lemang masak sekata,” katanya. – UTUSAN