JASIN : Seorang lelaki maut selepas dihempap papan tanda konkrit ketika sedang melakukan kerja-kerja perparitan di Kampung Gunung Asahan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi itu, mangsa, Nazri Yazid, 50, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat dihempap struktur berat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada orang awam yang mendapati mangsa tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja perparitan sebelum papan tanda konkrit yang berada berhampiran tiba-tiba terjatuh lalu menghempap tubuh mangsa.
“Pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-UTUSAN










