Lelaki ditahan tikam rakan serumah hingga maut

Lelaki ditahan tikam rakan serumah hingga maut

MOHD. HAFIZ MUHAMMAD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Polis mengesahkan seorang lelaki maut dipercayai ditikam rakan serumahnya dalam kejadian di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.26 malam, maklumat diterima menerusi Pusat Kawalan Gerakan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, maklumat diterima berkaitan satu pergaduhan yang berlaku di sebuah rumah sebelum sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati dua lelaki tempatan berada di ruang tamu rumah tersebut.

“Salah seorang daripadanya yang merupakan lelaki berusia 33 tahun ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian dada sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, seorang lagi lelaki, dipercayai suspek berusia 40 tahun turut berada di lokasi dan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Suspek yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Mohd Hafiz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

“Sekiranya mempunyai maklumat, orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurnazihah Norzilan di talian 011-1149 9008,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN