Lega dapat nyanyi lagu bahasa Melayu - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Lega dapat nyanyi lagu bahasa Melayu – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Bila malam ini (semalam) dapat menyanyikan lagu bahasa Melayu di hadapan orang ramai saya lega dan rindu.”

Demikian luahan spontan penyanyi, Shila Amzah yang mengakui lega apabila dapat mendendangkan lagu ikoniknya, Memori Tercipta setelah sekian lama tidak menyanyikan lagu bahasa Melayu, semalam.

Menurut Shila, dia sudah lama tidak mendapat undangan untuk menyanyi dalam bahasa Melayu kerana rata-rata jemputan yang diterima memerlukannya untuk mendendangkan lagu bahasa Mandarin.

“Mungkin luahan itu kedengaran agak pelik tetapi benar, saya sudah lama tidak mendapat jemputan untuk menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Kebanyakan undangan yang saya terima meminta saya menyanyikan lagu bahasa Mandarin. Saya bersyukur dengan kedudukan saya kini.

“Namun, kerjaya saya bermula dengan lagu-lagu dalam bahasa Melayu. Jadi, terbit rasa rindu untuk menyanyikan lagu-lagu hits Melayu saya suatu ketika dahulu,” katanya.

Shila berkongsi perkara tersebut usai membuat persembahan di Big Stage Alpha Showcase di Pavilion Kuala Lumpur, malam tadi.

Tambah Shila, dia mengakui kejayaannya menempa nama di negara China 10 tahun lalu benar-benar mengubah karier nyanyiannya 360 darjah apatah lagi rata-rata peminatnya kini berbangsa Cina.

Namun, penyanyi lagu Patah Seribu itu tidak pernah melupakan peminatnya yang berbangsa Melayu yang setia menyokong kerjaya seninya sejak tahun 2000.

“Sudah tentu saya merindukan peminat-peminat saya yang meminati lagu bahasa Melayu saya. Sekarang ini pun saya dalam usaha untuk kembalikan semula identiti saya yang dahulu kerana album-album saya sebelum ini juga menampilkan bahasa Melayu.

“25 tahun dalam industri, ada sahaja penganjur yang datang mempelawa untuk membuat konsert tetapi 80 peratus daripada mereka meminta saya menyanyikan lagu bahasa Mandarin.

“Tetapi jauh dari sudut hati saya, saya mahu adakan konsert yang dapat menarik perhatian peminat lagu Melayu saya. Di situ membuatkan saya masih pertimbangkan keputusan untuk mengadakan konsert,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shila memaklumkan dirinya bakal melancarkan album terbaharunya yang memuatkan sebanyak 15 lagu bahasa Melayu pada Ogos depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN