Lebih rasa tanggungjawab, tidak perlu berkejar di jalan raya - Faizal Tahir - Utusan Malaysia

Lebih rasa tanggungjawab, tidak perlu berkejar di jalan raya – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, mengajak orang ramai untuk memandu dalam keadaan berhati-hati serta mengambil iktibar daripada kejadian nahas bas yang mengakibatkan kematian 15  pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.

Faizal atau Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir, 46, berkata setiap pemandu perlu bersikap tenang di atas jalan raya kerana mempunyai tanggungjawab melindungi nyawa orang lain.

Pesanan kepada diri saya sendiri dan juga semua di luar sana, berhati-hatilah sewaktu memandu di jalan raya. 

“Biarlah anda rasa tanggungjawab yang lebih tinggi dan tak perlu untuk kita berkejar-kejar di jalan raya. Semoga Allah melindungi kita semua,” katanya menerusi sebuah video di Instagram. 

Dalam pada itu, penyanyi Gemuruh itu juga menitipkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar mereka kembali disatukan di syurga Allah.

“Daripada Allah kita datang dan daripada Allah juga kita kembali. Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga 15 orang pelajar yang berkorban dalam kemalangan baru-baru ini.

“Saya doakan agar Allah beri ketabahan dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarga. Saya mendoakan agar roh mereka semua dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama orang yang beriman dalam syurga.

“Saya mendoakan agar ahli keluarga semua dapat dikumpulkan bersama dengan arwah di syurga firdaus, amin,” katanya.  

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah kemalangan tragis berlaku sekitar pukul 1 pagi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin. 

Pemandu bas yang tidak didedahkan namanya bagaimanapun akan direman selepas keluar daripada menerima rawatan di hospital. 

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisham Nordin berkata, memberitahu bahawa polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian itu.

Siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk dakwaan bahawa bas tersebut dipandu laju. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN