PETALING JAYA: Kerajaan disyor mewajibkan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan secara mandatori ke atas semua kenderaan berat komersial bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika berada di jalan raya.
Berdasarkan Laporan Awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan itu termasuk pemasangan Global Navigation Satellite System (GNSS), kamera papan pemuka (dashcam) dan sistem pemantauan masa nyata.
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, itu telah mengenalpasti beberapa langkah intervensi yang boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan barangan.
Katanya, ia khusus untuk kenderaan berat sektor komersial serta kenderaan milik kerajaan.
“Antara syornya adalah aspek kepatuhan dan operasi iaitu meningkatkan tahap pematuhan kepada Kod Amalan Industri SPAD – Keselamatan (ICOP – Keselamatan) di kalangan pengendali kenderaan berat.
“Penegasan kepada agensi dan jabatan kerajaan agar memastikan pemakaian tali pinggang keledar dalam semua kenderaan milik kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
“Agensi dan jabatan kerajaan mempertimbangkan opsyen penggunaan bas bagi pergerakan pentadbiran dan bukan operasi yang melibatkan penumpang, khususnya untuk tujuan rasmi kerajaan,” katanya.
Menurut laporan itu, bagi aspek teknologi dan pemantauan pula, pihaknya mengesyorkan supaya kerajaan membangun dan melaksanakan sistem pemantauan bersepadu bagi kenderaan komersial yang merangkumi teknologi seperti GNSS, kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata yang relevan.
Katanya, pemasangan kamera papan pemuka pada kenderaan milik kerajaan bagi tujuan pemantauan operasi dan keselamatan secara lebih menyeluruh.
“Mewajibkan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan secara mandatori ke atas semua kenderaan berat komersial, termasuk sistem GNSS, kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata.
“Mempertimbangkan peluasan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan kepada kenderaan milik kerajaan, tertakluk kepada penilaian terhadap keperluan operasi khusus serta polisi keselamatan bagi setiap agensi,” katanya.
Bagi aspek undang-undang dan penguatkuasaan pula, kerajaan disyorkan untuk menambah baik peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) khususnya berkaitan penguatkuasaan berat muatan; pelesenan dan pemantauan ke atas pengendali; audit keselamatan dan penyelenggaraan serta penalti dan tindakan undang-undang terhadap pelanggaran oleh kenderaan barangan dan perkhidmatan awam.
“Bagi syor strategik jangka panjang kerajaan digesa untuk meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan dan operasi pengangkutan awam darat.
“Selain itu, kerajaan disyorkan untuk meneliti semula cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai sebuah badan bebas untuk menyelaras siasatan dan syor keselamatan pengangkutan di negara,” katanya. – UTUSAN