Lantikan Mohd. Khalid berdasarkan kompetensi, pengalaman luas  - Utusan Malaysia

Lantikan Mohd. Khalid berdasarkan kompetensi, pengalaman luas 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-15 dibuat berdasarkan kompetensi tinggi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.

Pelantikan secara kontrak selama dua tahun itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lantikan Khalid secara kontrak selepas bersara dibuat berdasarkan kompetensi dan pengalaman luas beliau dalam bidang kepolisan.

“Kerajaan Madani menzahirkan ucapan tahniah kepada Mohd. Khalid atas pelantikan ini. Beliau terbukti berwibawa dan komited dalam menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Razarudin Husain atas kepimpinan dan sumbangan beliau menerajui PDRM sejak 23 Jun 2023.

“Khidmat beliau sepanjang menerajui pasukan menjadi landasan kukuh dalam meneruskan kesinambungan kepimpinan PDRM,” katanya.

Mohd. Khalid, 60, berasal dari Manong, Perak, memiliki Ijazah Sarjana Perundangan Perbandingan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan menyertai PDRM pada 1987. Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang jawatan utama seperti Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Pegawai Perhubungan Keselamatan di London.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada April 2023 dan bersara wajib pada April lalu sebelum disambung secara kontrak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN