Langkah proaktif pengurusan lestari - Utusan Malaysia

Langkah proaktif pengurusan lestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tapak pelupusan sisa pepejal Beris Lalang kini melangkah ke era pengurusan lestari apabila Projek Landfill Mining di kawasan tersebut mula beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu.

Menurut Pengarah Urusan Dwitekno Sdn. Bhd., Mohd Fadzil Zamrod, projek ini merupakan langkah proaktif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal, khususnya bagi tapak pelupusan lama yang telah mencapai kapasiti maksimum.

“Fokus kami adalah pada pemulihan empat komponen utama iaitu bahan organik untuk dijadikan kompos, plastik pakai buang lembut yang sukar diproses, plastik keras bernilai, serta logam yang boleh dikitar dan dijual semula.

“Hasil utama projek ini adalah kompos organik yang diproses daripada sisa lama melalui teknologi bio-pengeringan (bio-drying),” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, kata Mohd Fadzil, ketinggian sisa pepejal di tapak itu pernah mencecah sehingga 30 meter dan dijangka mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk diproses sepenuhnya.

Jelasnya lagi, projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Pengurusan Sisa Pepejal Mubarakan Sdn. Bhd. (PSPM) dan Dwitekno Sdn. Bhd., serta menjadi model awal bagi pendekatan baharu pengurusan sisa pepejal secara mampan.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah menyeru agar projek seumpama ini diperluas ke kawasan lain.

“Kita mencadangkan agar Dwitekno memperluaskan projek ini ke tapak pelupusan di Kok Bedollah, Tumpat.

“Di sana terdapat kawasan seluas lebih 90 ekar yang berpotensi untuk dimanfaatkan menerusi kaedah landfill mining,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN