Kurang 18 peratus lulus latihan UTK

Kurang 18 peratus lulus latihan UTK

M.V. Sri Kumar (tengah) bersama pegawai dan anggota UTK pada Upacara Penganugerahan Beret UTK dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Antara 15 hingga 18 peratus sahaja daripada anggota polis yang menyertai latihan Unit Tindakan Khas (UTK) berjaya menamatkan kursus asas tahun ini, sekali gus mencerminkan tahap saringan ketat untuk menyertai pasukan elit berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Deputi Komisioner M.V. Sri Kumar berkata, UTK Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjadi antara pasukan elit yang mendapat permintaan tinggi dalam negara, khususnya dalam bidang pengiring dan perlindungan kenamaan serta operasi antikeganasan.

Beliau berkata, UTK bukan sahaja mengekalkan keupayaan tempurnya, malah terus berkembang selaras dengan cabaran semasa.

“Operatif UTK adalah aset bernilai tinggi kerana mereka terlibat dalam operasi sulit dan berisiko tinggi.

“Perjawatan UTK tidak pernah penuh kerana permintaan terhadap mereka sangat tinggi, sama ada daripada agensi korporat mahupun individu kenamaan dalam dan luar negara, yang amat berminat dengan kepakaran serta latihan dimiliki operatif UTK,” katanya dalam sidang akhbar sempena Upacara Penganugerahan Beret UTK dan Penutupan Kursus Asas Kawalan Rapat Keselamatan Siri 1/2025 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Tambah Sri Kumar, angka itu menunjukkan hanya yang benar-benar terbaik dalam pasukan dipilih menyertai UTK.

“Daripada 250 calon yang hadir sesi pemilihan awal dan temu duga, hanya 121 layak ke peringkat seterusnya dan 43 diterima masuk ke kursus asas. Daripada jumlah itu, hanya 36 berjaya menamatkan kedua-dua kursus dengan jayanya,” katanya. 

Beliau berkata, UTK dijangka berpindah ke ibu pejabat baharu di Semenyih menjelang tahun depan.

“Projek pembinaan kem ini sudah siap 70 peratus. Apabila siap sepenuhnya, semua latihan dan operasi boleh dijalankan di fasiliti sendiri. Buat masa ini, mereka masih menjalani latihan di fasiliti PDRM lain di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN