Kuota Haji khusus peneroka Felda Johor

Kuota Haji khusus peneroka Felda Johor

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri akan mewujudkan kuota haji buat peneroka Felda bagi musim akan datang sebagai salah satu inisiatif khas yang diumumkan dalam Sambutan Hari Peneroka Felda Madani negeri Johor di sini hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri telah menggariskan 14 inisiatif buat warga Felda di negeri ini termasuk mengadakan 10 kuota haji buat peneroka Felda yang datang dari negeri ini. 

Menurutnya warga Felda berada sangat dekat dengan hati kepimpinan di peringkat negeri dan beliau tidak segan silu menyatakan bahawa warga Felda Johor ini adalah anak emas dan perkara ini bukan sesuatu yang retorik.

“Sebanyak 14 inisiatif peruntukan untuk warga Felda Johor kita umumkan hari ini. Termasuklah kita juga bersetuju untuk mengadakan kuota haji khas untuk 10 orang peneroka Felda di negeri Johor,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Peneroka Felda Madani negeri Johor di Felda Tunggal, Kota Tinggi di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.

Inisiatif lain termasuklah menyelesaikan isu projek rumah generasi kedua yang terbengkalai, bantuan kepada 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) juga masjid dan surau.

Onn Hafiz berkata, lapan inisiatif tambahan itu membabitkan jumlah RM1.8 juta.

Kerajaan negeri turut bersetuju meningkatkan kuota pinjaman pendidikan khas tanpa faedah untuk 50 anak Felda serta sumbangan bakul makanan kepada peneroka dengan setiap bakul makanan berjumlah RM100.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut akan menyelesaikan isu projek rumah generasi kedua yang terbengkalai di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak yang membabitkan kosnya sehingga RM25 juta.

“Kita dah ada Sekretariat Majlis Muafakat Felda. Insya-Allah kalau ada kerjasama yang baik daripada pihak pengurusan, masalah yang membelenggu kita selama tujuh tahun ini, saya nak selesai tahun ini juga untuk anak-anak Felda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN