NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat berkaitan isu penggunaan bas dan langkah keselamatan membabitkan para pelajar yang mengikuti program lawatan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, SOP dan peraturan-peraturan itu telah pun diperjelaskan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 9 Tahun 2023 untuk dijadikan panduan oleh para guru pengiring dan ahli-ahli rombongan.
“SPI terperinci ini memberi panduan berkenaan lawatan sekolah merangkumi tujuan lawatan, permohonan lawatan dan pelaksanaan lawatan yang dibahagikan kepada garis panduan perancangan, sebelum, semasa dan selepas lawatan.
“Malah, aspek keselamatan juga diberi perhatian termasuk kenderaan yang digunakan perlu memenuhi spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.
“Justeru, kita akan terus memberikan peringatan dari semasa ke semasa kepada pada semua sekolah serta guru-guru yang terlibat dalam sebarang acara pengendalian lawatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk memantau perkembangan pasangan guru yang terlibat dalam nahas bas persiaran sehingga mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dekat Gerik, Perak, awal pagi semalam.
Beliau berkata, pihaknya berdukacita dengan insiden yang berlaku itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru terbabit yang ketika kejadian menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
“Kita sudah dapat kenal pasti pasangan guru itu semalam. Mereka telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Baling (Kedah) dan kini, mereka berada dalam keadaan stabil.
“Kita juga telah mengarahkan agar JPN Kedah untuk mengambil tanggungjawab dan komitmen memantau keadaan pasangan terbabit dan keluarganya. Kita akan pantau dan beri bantuan yang bersesuaian dengan segera,” katanya. – UTUSAN