KUALA LANGAT: “Laksanakan ibadah korban walaupun sedikit kerana ganjaran pahalanya tinggi di sisi Allah SWT,”.
Demikian pandangan pelakon dan pengacara popular, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor.
Katanya, beliau telah melakukan ibadah korban setiap tahun sejak lebih sedekad lalu.
“Jika mampu berkorbanlah seekor lembu.Jika tidak mampu korbanlah satu bahagian.
“Tidak kira umur kita muda atau berusia.Selagi mana kita mampu untuk menabung kita peruntukkan sedikit tabungan untuk ibadah korban,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penyembelihan Haiwan Ternakan milik ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Muhammad Faiz Harol Isam di Pulau Nyatoh Jugra di sini hari ini.
Neelofa yang juga merupakan usahawan berkata, tahun ini sebanyak 10 ekor lembu diperuntukkan untuk ibadah korban melalui syarikatnya TheNoor.
“Menerusi syarikat saya,TheNoor ia merupakan tahun kelima ibadah korban dilaksanakan. Untuk tahun ini kali pertama saya berkolaborasi dengan Syarikat EZ Qurban.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak EZ Qurban untuk proses membahagi-bahagikan daging korban hari ini,”ujarnya. – UTUSAN